Tahanan reman pegawai Zakat Pulau Pinang dilanjutkan 4 hari lagi

PERINTAH tahanan reman yang dikenakan terhadap pegawai tinggi Zakat Pulau Pinang dilapor telah dilanjutkan selama 4 hari lagi sehingga Hari Khamis ini bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan tabung zakat.

Majistret Mohamad Amin Sahul Hamid mengeluarkan perintah reman itu dengan meluluskan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.

Seorang lagi pegawai zakat Pulau Pinang turut dilanjutkan perintah tahanan reman yang dikenakan ke atasnya.

Kedua-dua pegawai zakat berkenaan dilaporkan tiba di Mahkamah Majistret dengan memakai pakaian lokap SPRM pada jam 2.20 petang semalam, dan dilihat meninggalkan Kompleks mahkamah sekitar jam 3.15 petang.


Pegawai tinggi terbabit yang berusia 50-an dilaporkan telah ditahan oleh pihak SPRM pada 9 Mei lalu bersama-sama dengan 11 orang lagi suspek.

Awal pagi ini dilaporkan 3 orang kontraktor yang turut direman bagi membantu siasatan berhubung kes yang sama telah dibebaskan dengan ikat jamin oleh pihak SPRM sebanyak RM5000 setiap seorang.

Pada hari Sabtu lalu, pihak SPRM turut dilaporkan telah membebaskan empat orang individu kontraktor dengan ikat jamin sebanyak RM5000. Turut dibebaskan ialah dua orang pegawai zakat yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan dengan ikat jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang. — EdisiRakyat.com, 16 Mei 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post