Pengetua sedih anak-anak tahfiz terima sisa juadah bazar ramadan

SEORANG pengetua Madrasah Tahfiz Quran Hamidiyah meluahkan rasa sayu dan terkilan apabila anak-anak di sekolah tahfiz yang diasaskannya menerima sedekah dalam bentuk sisa dari juadah Bazar Ramadan.

Perkara itu diluahkan dalam laman Facebook milik Al Faqir Hamidi, yang merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk menyedarkan dunia luar bahawa perkara ini merupakan perkara sensitif sekaligus perlu dipandang serius.

"Inilah rezeki moreh anak-anak tahfiz yang acapkali terjadi tetapi dunia luar kurang maklum.

Kuih muih yang tidak habis dijual di bazar dihantar ke madrasah-madrasah dalam keadaan si penjual berebut-rebut hendak pulang berbuka.

Para pelajar tetap bersyukur kerana mereka dididik begitu. Tetapi kami para guru dan pengurusan hampir mengalirkan air mata. Saya amat sarankan jika anda hendak beri sesuatu seperti makanan khususnya berilah yang terbaik untuk anak-anak ini.

Belilah atau berilah yang segar dan bukan sisa-sisa. Insyaallah pasti rezeki anda berkat dan dilimpahi rahmat." tulis Al Faqir meluahkan isi hatinya.



Membaca luahan hati pengetua tersebut mampu menimbulkan rasa sayu di hati kerana walaupun pahit, itulah kenyataan yang sememangnya kerap berlaku bukan sahaja di madrasah tersebut, malah ia juga turut berlaku di tempat-tempat lain seperti rumah anak yatim, rumah orang-orang tua dan rumah kebajikan seumpamanya.

Golongan yang mengharapkan sedekah dari sebuah keikhlasan, memang tidak pernah merungut ataupun memiliki sekelumit syak wasangka.



Namun, dunia luar terkadang menjadikan tempat-tempat seperti ini seolah-olah seperti tempat menerima "sampah-sampah" terbuang dari benda yang tidak diingini lagi.

Jika anda lihat gambar yang disertakan bersama luahan hati pengetua tersebut, betapa rasa terpukulnya melihat mengapa makanan sebegini yang diberi kepada anak-anak tahfiz ini. Mereka ini adalah golongan pemelihara Al-Quran (tahfiz) yang sepatutnya dimuliakan.

Pakaian buruk, baju yang lusuh dan koyak bukan satu perkara baru diterima oleh rumah-rumah anak yatim dan madrasah seperti ini.

Moga sedikit luahan hati terselit teguran tanpa niat buruk dari beliau bukan menjadi titik permulaan kepada sebuah permusuhan, sebaliknya ambillah ia sebagai satu nasihat dan panduan untuk bersedekah dengan lebih baik.

Semoga bulan Ramadan yang mulia ini dijadikan medan mengejar pahala yang mana sudah jelas di dalam Al-Quran setiap amalan dikurniakan pahala berlipat kali ganda.

Bersedekahlah​ dengan menyelitkan bunga keikhlasan dan berilah yang terbaik sedaya anda. Apa yang anda beri inilah yang Insya Allah mampu menjadi saham di akhirat kelak. EdisiRakyat.com, 3 Jun 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post