Banduan menunggu hukuman mati gigit telinga warden penjara

SEORANG banduan yang sedang menunggu hukuman mati dilapor tiba-tiba bertindak agresif menggigit telinga seorang warden penjara.

OCPD Bentung, Supt Mohamad Mansor Mohamad Nor dilaporkan berkata, banduan tersebut seorang warga asing yang didapati bersalah dalam kes berkaitan dadah, ketika itu sedang dipindahkan ke sebuah blok yang bersebelahan, dia tiba-tiba menjadi agresif dan mula menyerang seorang Ketua Inspektor Penjara sekitar jam 2.05 petang hari Rabu.

"Warden berkenaan dan tiga lagi yang bersamanya termasuk seorang Ketua Inspektor, cuba mengawal banduan tersebut namun dia terbukti begitu kuat, akhirnya dia berjaya menumbuk seorang daripada warden mengakibatkannya jatuh di atas lantai," katanya.



Banduan itu kemudiannya menghentak warden tersebut dan menggigit cuping telinga kirinya sebelum warden yang lain berjaya menghentikan perbuatannya itu.

Mereka kemudian berjaya menghantar banduan tersebut ke blok yang sepatutnya.

Warden yang mengalami kecederaan itu kemudiannya dibawa ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan. Satu aduan telah dibuat di Balai Polis Lurah Bilut selepas itu.

Difahamkan banduan berkenaan pada awalnya tidak mahu dipindahkan ke blok lain ketika pegawai penjara dan beberapa warden datang ke sel yang didudukinya.

Namun warden tetap terus menggari banduan itu yang menyebabkan dia meradang, seterusnya menjadi agresif.

Banduan berkenaan telah dihukum mati pada tahun 2005 selepas dia didapati bersalah mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — EdisiRakyat.com, 21 Setember 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post