Lelaki berseluar pendek, berselipar larikan RM600 ribu dari bilik kebal bank

SEORANG lelaki yang hanya berbekalkan sekeping kertas melangkah masuk dalam sebuah bank di Damansara Height dan dengan tenang meninggalkan bank itu tanpa dikesan telah melarikan wang sebanyak RM600,000 yang dicurinya daripada bilik kebal bank berkenaan.

Berlagak sebagai seorang pekerja penyelenggara alat pemadam api, pencuri tersebut yang membawa beg sandang dan memakai T shirt, dengan seluar pendek dan berselipar berjaya melarikan wang tersebut dan hanya mengambil masa kira-kira 20 minit.

Namun selepas dua jam kemudian barulah perbuatan jenayah itu dapat dikesan oleh kakitangan bank berkenaan.

Sumber yang dipetik oleh portal The Sun, memberitahu bahawa pencuri itu kelihatan begitu tenang dan yakin.



Dia melangkah masuk ke dalam bank sekitar jam 12.30 pagi pada 8 September seterusnya memperkenalkan diri kepada kakitangan bank sebagai seorang juruteknik sebuah syarikat alat pemadam api.

Dia memberitahu bahawa dirinya dilantik untuk memeriksa fungsi alat pemadam api dan meminta kebenaran untuk masuk ke kawasan larangan di dalam bank tersebut.

Difahamkan, selepas menunjukkan dokumen pelan lantai tempat berkenaan, pengurus bank telah bertemu dengan lelaki terbabit dan meminta maklumat identitinya.

Apabila lelaki itu gagal memberikan sebarang dokumen pengenalan, pengurus bank dikatakan tidak membenarkan lelaki itu menjalankan pemeriksaan sebelum beliau kemudiannya keluar untuk makan tengahari.

Lelaki terbabit bagaimanapun terus berada di dalam premis di mana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia berkeliaran di kawasan berkenaan sebelum menyelinap masuk melalui sebuah pintu yang terletak di belakang kaunter bank.

Dia dilihat berpura-pura untuk memeriksa pemadam api dalam keadaan kakitangan bank yang lain sedang sibuk melayan pelanggan dan tidak mengesyaki apa-apa ketika dia menghampiri bilik kebal yang menyimpan wang tunai.

Sumber memaklumkan, bilik kebal itu hanya boleh diakses oleh pengurus bank dan ketua juruwang dan ia memerlukan kod akses peribadi.

Ketika juruwang melangkah masuk ke dalam bilik simpanan tersebut, pencuri itu telah memasang sebuah besi berani (magnet) di bahagian selak pintu automatik bagi menghalang ia daripada terkunci sendiri apabila ditutup.

Beberapa minit selepas juruwang melangkah keluar, lelaki itu dilihat dari CCTV berjalan menuju ke bilik kebal dan dengan tenang membukanya.

Dia melangkah masuk dan memunggah selonggok wang tunai lalu dimasukkan ke dalam beg sandang yang dibawanya.

Pencuri itu kemudiannya melangkah pergi meninggalkan kawasan larangan itu dan dengan tenang keluar meninggalkan bank tersebut.

Sumber mendakwa, penjenayah itu sempat berhenti sebentar untuk berbual dengan pengawal keselamatan, memberitahunya bahawa pekerja yang sepatutnya membantu dia membuat pemeriksaan telah menghilangkan diri dan dia akan datang semula kemudian selepas mendapatkan mereka.

Terdahulu, dia dikatakan turut berbual dengan ketua juruwang sebelum berjaya mencuri.

Sekitar jam 2.30 petang, ketika pengurus bank kembali semula, dia telah bertanya kepada kakitangannya ke mana pergi lelaki berkenaan, namun diberitahu bahawa dia telah pergi.

Dia mula merasa curiga lalu membuat pemeriksaan di bilik kebal sebelum mendapati kehilangan wang tunai berjumlah RM600,000.

Sumber turut memaklumkan, sebaik sahaja selepas kes itu diadukan kepada polis, polis telah menahan pengurus bank berusia 40 an itu.

Pengurus tersebut telah ditahan reman selama dua hari untuk tujuan soal siasat dan dibebaskan kemudiannya selepas didapati tidak terlibat dalam kes kecurian tersebut.

Pada hari Ahad, pihak polis menahan ketua juruwang pula, namun dia telah dibebaskan beberapa jam kemudian selepas disoal siasat.

Difahamkan juga, kedua-dua kakitangan senior itu telah digantung tugas oleh pihak bank.

Penyiasat mendapati, sebelum kecurian itu, suspek turut melakukan cubaan serupa di sebuah lagi pejabat lain di sebuah syarikat selepas mendakwa dirinya sebagai seorang juruteknik penghawa dingin yang dipanggil untuk kerja-kerja pembaikan.

Bagaimanapun, kakitangan syarikat itu merasa curiga dan tidak membenarkannya masuk.

Lelaki itu berlalu pergi dan seterusnya pergi pula ke bank tersebut.

Sumber berkata, penyiasat terkejut dengan kecuaian kakitangan bank tersebut.

"Dia tak ada kad pengenalan daripada mana-mana syarikat dan dia juga tidak memakai pakaian yang biasa dipakai oleh seorang juruteknik. Dia hanya memakai seluar pendek, T Shirt dan berselipar. Semua ini menimbulkan curiga," kata sumber itu lagi.

Pihak polis telah mendedahkan gambar suspek yang diambil daripada CCTV kepada orang ramai.

Ketua Polis Brickfield, ACP Ruslan Khalid berkata, polis percaya lelaki terbabit berusia dalam lingkungan 30an. — EdisiRakyat.com, 19 September 2017

1 Comments

Post a Comment

Previous Post Next Post