Wanita Indonesia tinggalkan bayi selepas bersalin di hospital swasta

SEORANG wanita warga Indonesia dilapor menghilangkan diri sehari selepas melahirkan seorang bayi perempuan di sebuah hospital swasta di Kuching, Sarawak.

Bayi berkenaan turut ditinggalkan di hospital tersebut.

"Menurut pihak hospital, wanita berusia 23 tahun itu diterima masuk pada hari Sabtu, dan telah selamat melahirkan sekitar jam 4 petang,"

"Bayi berkenaan dibawa ke nurseri untuk tujuan pemantauan, sementara ibunya dihantar ke wad,"

"Pada keesokan harinya, seorang kakitangan hospital yang melakukan pemeriksaan mendapati wanita tersebut tiada lagi di biliknya,"

"Pihak hospital kemudiannya memutuskan untuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) (sekaligus mendapati wanita berkenaan telah menyelinap keluar dari hospital)," kata Ketua Polis Daerah, ASP Abang Ahmad Abang Julaihi dalam satu kenyataan pada hari Selasa.

Tambahnya lagi seorang jururawat telah membuat laporan polis berikutan kejadian itu.

Pihak polis telah memaklumkan Konsulat Indonesia di Kuching bagi mendapatkan bantuan mengenalpasti dan mencari wanita berkenaan.

"Bayi berkenaan kini di bawah jagaan pihak hospital," katanya lagi. — EdisiRakyat.com, 17 Oktober 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post