Malaysia negara ketiga paling banyak dilawati di Asia

MALAYSIA merupakan negara ketiga di Asia paling banyak dilawati selepas China dan Thailand menurut laporan Organisasi Pelancongan Dunia sekaligus menunjukkan Asia Tenggara sebagai wilayah tumpuan pelancong di rantau Asia.

Pelancongan adalah salah satu faktor ekonomi yang paling membangun di seluruh dunia. Menurut laporan itu, jumlah tahunan ketibaan pelancong antarabangsa telah meningkat dari 25 juta pada tahun 1950 kepada 278 juta tahun 1980, 674 juta tahun 2000 dan 1.235 bilion tahun 2016.

Wilayah Asia Pasific menyumbang kepada 30 peratus penerimaan pelancong dunia.

Dari segi peningkatan, wilayah itu mengatasi tempat-tempat lain, di mana limpahan jumlah pelancong dunia meningkat pada kadar purata 7 peratus setahun, berbanding purata dunia sebanyak 4 peratus. China kekal sebagai destinasi pelancongan utama di Asia.

Negara itu telah menarik jumlah terbesar pelancong di Asia dengan mencatatkan rekod sebanyak 59.27 juta pelancong dalam tahun 2016.

Tembok Besar China menarik jumlah kedatangan paling ramai diikuti oleh Kota Larangan, dan istana-istana Dinasti Ming. Selain dari kehebatan seni bina, China turut mempunyai banyak tapak-tapak pelancongan semulajadi yang menarik minat para pelancong antarabangsa.

Thailand pula dilaporkan sebagai negara kedua memiliki jumlah pelancong paling ramai di Asia dengan jumlah pelawat sebanyak 32.58 juta pada tahun 2016.

Negara itu mempunyai dasar visa yang mudah sekaligus memudahkan para pelancong untuk melawat negara berkenaan. Malaysia pula menarik seramai 26.75 juta pelancong tahun lalu namun, purata jumlah hari penginapan pelancong dilapor menurun.


Negara lain yang turut tersenarai ialah Jepun dan India dengan jumlah pelancong masing-masing seramai 24.04 dan 14.56 juta.

Negara India mencapai satu lonjakan terbaru apabila ketibaan pelancong melepasi 10 juta buat kali pertama seterusnya membolehkan negara itu memperoleh pendapatan sebanyak 27 bilion dolar.

Pencapaian itu turut membantu negara berkenaan meningkat 25 tangga dalam Indeks Saingan Pelancongan. Korea Selatan pula merupakan negara ke 6 paling ramai menerima pelancong dalam tahun 2016.

Bagaimanapun jumlah itu merudum berikutan tindakan boikot kumpulan pelancong Cina selepas Korea Selatan menggunakan sistem Thaad.

Negara seterusnya adalah Singapura dan Vietnam dengan jumlah pelancong diterima masing-masing sebanyak 12.91 dan 10.01 juta. dalam tahun 2017 ketibaan pelancong di Filipina meningkat sebanyak 11 peratus kepada 5.96 juta. pelancong dari Korea Selatan kekal sebagai pelawat paling ramai ke negara itu.

Ia diikuti oleh Cambodia, Laos dan Sri Lanka. Manakala negara paling kurang dilawati di Asia adalah Monggolia, Brunei dan Bhutan. — EdisiRakyat.com, 14 Oktober 2018

Post a Comment

أحدث أقدم