KDNK positif, pakar saran kerajaan perkukuh langkah strategik demi kesejahteraan rakyat

MALAYSIA mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus pada 2024, mengatasi unjuran awal antara 4 peratus hingga 5 peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2024. 

Dalam masa yang sama, defisit fiskal berjaya dikurangkan kepada 4.1 peratus berbanding sasaran 4.3 peratus menandakan pemulihan ekonomi yang semakin kukuh.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif The Centre For Market Education (CME), Dr. Carmelo Ferlito  pencapaian ini merupakan satu perkembangan positif kerana pengurangan defisit fiskal dapat membantu mengawal kenaikan harga barang.

Manakala pertumbuhan KDNK yang sebahagian besarnya didorong oleh pelaburan adalah lebih berdaya tahan dan memberikan kesan jangka panjang kepada ekonomi negara.

"Pertumbuhan yang dipacu oleh pelaburan bermaksud lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan dan taraf hidup rakyat boleh meningkat. 

"Namun, kesan positif ini tidak dapat dirasai serta-merta ia memerlukan sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun sebelum manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat," katanya kepada EdisiRakyat.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata prestasi ekonomi yang memberangsangkan ini didorong oleh beberapa faktor utama.

Antaranya penggunaan swasta meningkat kepada 5.1 peratus berbanding 4.7 peratus pada tahun 2023, mencerminkan keyakinan rakyat terhadap ekonomi negara. 

Dalam masa yang sama, pelaburan turut melonjak 12 peratus lebih tinggi berbanding 5.5 peratus pada tahun sebelumnya menunjukkan sektor perniagaan semakin berkembang.

Jumlah dagangan negara turut mencatat peningkatan sebanyak 9.2 peratus yang mencecah RM2.88 trilion, menandakan pertumbuhan dalam perdagangan antarabangsa. 

Sementara itu, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bersih juga meningkat kepada RM47.4 bilion berbanding RM40.4 bilion pada tahun 2023, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia.

Kementerian iturut menjangkakan ekonomi akan terus berkembang pada kadar antara 4.5% hingga 5.5%, pada tahun ini mengekalkan momentum pertumbuhan positif yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Ekonomi Berkembang, Tetapi Rakyat Masih Terbeban?

Beliau menjelaskan bahawa rakyat masih belum merasakan limpahan ekonomi kerana apa yang mereka alami sekarang bukanlah hasil pertumbuhan terkini, tetapi kesan negatif daripada dasar yang dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, kerajaan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi yang besar semasa PKP dalam keadaan ekonomi yang terhenti sepenuhnya. 

"Gabungan antara sekatan pergerakan dan perbelanjaan kerajaan yang tinggi menyebabkan inflasi, terutamanya dalam sektor makanan dan perumahan, yang menyaksikan kenaikan harga paling ketara sejak pandemik.

"Inilah hakikat sebenar yang dirasai rakyat sekarang—bukan kesan daripada pertumbuhan ekonomi terkini, tetapi beban ekonomi yang berpunca daripada langkah-langkah terdahulu semasa PKP.

"Ironinya, ramai yang pada waktu itu menyokong sepenuhnya perintah sekatan, tetapi kini mereka sendiri merasai akibatnya dalam bentuk kos sara hidup yang lebih tinggi," katanya.

Beliau merujuk kepada pelaksanaan PKP akibat pandemik COVID-19 m semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Manfaat Kepada Rakyat Masih Berbeza Ikut Golongan

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Irwan Shah Zainal Abidin, berkata pertumbuhan ekonomi yang stabil adalah petunjuk baik bagi ekonomi negara, tetapi perlu disertai dengan langkah strategik agar manfaatnya dapat dirasai semua lapisan masyarakat.

Jelasnya, apabila KDNK berkembang secara stabil, ia memberi kesan langsung kepada aktiviti pengeluaran dalam negara.

"Peningkatan pengeluaran bermakna lebih banyak perniagaan berkembang, yang seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas.

"Apabila ekonomi berkembang dengan baik, lebih banyak aktiviti ekonomi berlaku, lebih banyak pekerjaan diwujudkan, dan kuasa beli rakyat juga boleh meningkat dalam jangka panjang," katanya.

Namun, beliau berkata impak positif ini mungkin tidak dirasai serta-merta dan tidak menyeluruh kepada semua golongan kerana setiap individu akan merasai kesan pertumbuhan ekonomi dengan cara yang berbeza.

"Meskipun pertumbuhan ekonomi membawa kepada lebih banyak peluang pekerjaan, persoalannya ialah di sektor mana peluang ini wujud dan siapa yang akan mendapat manfaat—adakah golongan B40, M40, atau pekerja berkemahiran tinggi dan sederhana.

"Data KDNK tidak menunjukkan secara terperinci bagaimana manfaat pertumbuhan ini diagihkan kerana ia hanya memberikan gambaran umum mengenai kekuatan ekonomi negara, bukan ukuran langsung terhadap kesejahteraan rakyat," katanya.

Justeru itu, beliau berkata kerajaan perlu campur tangan dan tidak boleh membiarkan kuasa pasaran semata-mata menentukan siapa yang akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan 5.1% KDNK.

Tanpa intervensi yang tepat, katanya ada golongan yang akan terpinggir dan tidak merasakan sebarang manfaat daripada pertumbuhan ini.

"Sebagai contoh, bantuan kewangan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan inisiatif sokongan lain diperlukan untuk memastikan tiada kumpulan yang tercicir. Jika kerajaan tidak bertindak, jurang ketidakseimbangan dalam pengagihan manfaat ekonomi akan semakin ketara," katanya.

Peranan Kerajaan: Mencipta Ekosistem Mesra Pelabur

Bagaimanapun  Carmelo mempunyai pendapat berbeza dengan menegaskan bahawa kerajaan tidak sepatutnya campur tangan secara berlebihan dalam ekonomi sebaliknya perlu mencipta ekosistem yang lebih mesra perniagaan dan pelaburan.

"Apabila kerajaan membenarkan pasaran berfungsi secara lebih bebas, pelaburan akan lebih berkembang, syarikat dapat beroperasi dengan lebih cekap, dan akhirnya pertumbuhan ekonomi akan menjadi lebih mampan dalam jangka panjang.

"Pendekatan ini memberi kelebihan kerana ia menggalakkan persaingan sihat, meningkatkan inovasi, dan menarik lebih banyak pelaburan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.

Katanya dengan pencapaian ekonomi yang kukuh dan dasar fiskal yang lebih mampan, kerajaan kini berdepan cabaran untuk memastikan pertumbuhan ini benar-benar membawa manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.

Post a Comment

Previous Post Next Post