Pendapatan rakyat masih rendah punca Kerajaan tidak laksana GST, kata Anwar

PUTRAJAYA, 20 Jun – Kerajaan memutuskan untuk tidak melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini. Perdana Menteri berkata, ia berikutan tahap pendapatan rakyat yang masih rendah dan masih belum berada pada tahap terbaik. Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, walau pun GST diiktiraf sebagai sistem percukaian yang efisien dan telus, pelaksanaannya kini boleh membebankan golongan berpendapatan rendah. "Kita tangguhkan GST kerana nilai ambang pendapatan rakyat itu terlalu rendah. Pendapatan RM1,700 hingga RM2,000 masih ramai.
“Walau pun ada pengecualian, banyak barangan tetap dikenakan cukai secara tidak langsung," katanya sewaktu Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, hari ini. Sebagai alternatif, kerajaan akan meneruskan penambahbaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025. 

 Langkah ini dilaksanakan secara progresif dan bersasar, memastikan barangan keperluan asas tidak dikenakan cukai, manakala barangan tidak penting dikenakan cukai untuk memastikan hasil negara dapat dikembalikan semula kepada rakyat. Anwar juga menegaskan bahawa agensi dan jabatan kerajaan diarah hanya menyediakan makanan tempatan dalam majlis rasmi, sebagai usaha untuk menyokong petani tempatan dan meningkatkan permintaan terhadap hasil tempatan.

 Langkah-langkah ini diambil sebagai usaha kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah, sambil memastikan hasil negara dapat digunakan untuk manfaat rakyat.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post