KUALA LUMPUR, 31 Julai — Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menetapkan strategi memperkukuh asas ekonomi negara menerusi pendigitalan, pembangunan teknologi dan pemerkasaan industri tempatan diyakini memberi kesan positif kepada rakyat.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penekanan terhadap AI dan pendigitalan amat tepat memandangkan negara telah membuktikan keupayaannya mengadaptasi teknologi digital ketika pandemik COVID-19 serta menjadi pengguna kedua tertinggi pembayaran elektronik selepas China.
“Transformasi digital rakyat Malaysia sudah terbukti dan ini menunjukkan kesiapsiagaan negara untuk bergerak ke hadapan dalam ekonomi berasaskan teknolog semua kementerian dan agensi kerajaan juga disasarkan untuk didigital sepenuhnya menjelang 2030 selaras dengan agenda RMK13,” katanya kepada BBCPORTAL.
Mengulas sasaran memperkenalkan jenama “Made by Malaysia”, beliau berkata langkah itu mampu menjadikan Malaysia peneraju teknologi dan pengeluar produk bertaraf dunia.
“Produk buatan Malaysia perlu bersaing dengan barangan import, terutamanya dari China yang lebih murah dan berkualit. Rakyat juga perlu ada semangat patriotisme ekonomi dengan mengutamakan barangan tempatan,” katanya lagi.
Penganalisis Ekonomi PUTRA Business School, Prof Madya Dr Ida Md Yasin pula menyifatkan sasaran RMK13 untuk mengurangkan kebergantungan makanan import sebagai langkah strategik bagi menjamin keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata kadar sara diri (SSR) bagi ayam telah mencapai 100 peratus, manakala sayur-sayuran dan buah-buahan sekitar 80 peratus. Namun, beras dan daging masing-masing hanya mencatat 56 dan 16 peratus.
“Sasaran kerajaan meningkatkan SSR kepada 80 peratus bagi beras dan 50 peratus bagi daging dalam tempoh lima tahun amat wajar untuk mengurangkan risiko pergantungan kepada sumber luar yang mudah terjejas akibat krisis global,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membentangkan RMK13 menegaskan rancangan itu akan menjadi kerangka pembangunan utama negara dalam tempoh lima tahun akan datang dengan tumpuan kepada teknologi, inovasi dan pemerkasaan ekonomi rakyat.— Edisi Rakyat.com
Post a Comment