Kamil bidas Fadhli, anggap kenyataan hina Thailand dan Kemboja

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menggesa Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja susulan kenyataan yang dianggap memperlekeh usaha diplomasi Malaysia dalam memudah cara gencatan senjata antara kedua-dua negara itu. 

Katanya, Malaysia kini diiktiraf dunia sebagai peneraju diplomasi serantau apabila kedua-dua negara bersetuju menggerakkan langkah pendamaian hasil peranan aktif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. “Usaha ini bukan soal parti atau politik individu. Ini soal maruah negara.

Dunia, daripada Presiden Amerika Syarikat dan Presiden China hingga komuniti ASEAN, menyambut baik peranan Malaysia, tetapi malangnya pembangkang memilih untuk bersikap sinis dan pesimis,” katanya dalam satu hantaran di aplikasi X.
Kenyataan itu menegaskan pembangkang gagal mencatat sebarang kejayaan diplomatik berskala sama ketika berkuasa, tetapi kini memilih untuk memperlekeh pencapaian yang membanggakan negara. “Tindakan ini jelas tidak patriotik dan memalukan negara. 

Islam menuntut pendamaian, tetapi ia disanggah dengan kebencian politik yang membuak,” katanya sambil menegaskan Malaysia akan terus mengangkat diplomasi berasaskan kemanusiaan, bukan retorik kosong. 

“Malaysia tidak akan mempertahankan tindakan gopoh dan bebal yang tiada secebis hormat pada negara lain, apatah lagi negara jiran. Kita juga tidak bersetuju jika negara tercinta ini dihina dengan kenyataan biadab yang sama,” tambah kenyataan itu.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post