Kerajaan Salur RM100,000 Setiap Kampung FELDA untuk Projek Pilihan Penduduk

KUALA LUMPUR, 02 Ogos — Kerajaan memperuntukkan RM100,000 bagi setiap kampung di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri penduduk. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip musyawarah dan pemerkasaan rakyat.
“Setiap kampung FELDA diberi RM100,000 dan penduduk boleh tentukan sendiri projek yang mahu dilaksanakan sama ada membeli traktor, membina kolam ikan atau membeli dron. 

“Ini bukan pengurusan FELDA yang tentukan, tetapi saudara sendiri,” katanya di Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) dekat Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk, Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk, Ewon Benedick, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan bertanggungjawab mengangkat martabat negara dan menunaikan amanah kepada rakyat termasuk warga FELDA. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sepanjang tiga tahun pemerintahan, termasuk penubuhan pusat dialisis di setiap kawasan FELDA dan mewujudkan lebih 1,000 sekolah angkat dengan kerjasama syarikat korporat serta GLC.

 “Kalau nak buat sesuatu, buatlah semasa kita ada kuasa, bukan berleter selepas ditolak rakyat,” katanya lagi. Tambah Anwar, di bawah Kerajaan MADANI, semua kementerian perlu berganding bahu meningkatkan taraf hidup dan kemudahan di kawasan FELDA.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post