Rancakkan MADANI Jadi Wadah Kerajaan Bertemu Rakyat, Lapor Pencapaian Tiga Tahun Pentadbiran

KUALA LUMPUR, 5 Dis - Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang berlangsung mulai hari ini hingga Ahad di Dataran Putrajaya menjadi platform penting kerajaan untuk bertemu rakyat serta melaporkan pencapaian pentadbiran Kerajaan MADANI yang kini memasuki tahun ketiga secara terbuka dan mudah difahami.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata program selama tiga hari itu merupakan kesinambungan tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI kepada rakyat, selepas penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada 2023 dan Program Dua Tahun Bersama Kerajaan MADANI pada 2024.

Menurut beliau, Rancakkan MADANI berperanan sebagai wadah utama untuk menampilkan pencapaian, kemajuan dasar serta hasil reformasi kerajaan secara telus, menyeluruh dan mesra rakyat.

“Alhamdulillah, kepimpinan Kerajaan MADANI yang diterajui Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kini memasuki tahun ketiga pentadbiran. Tempoh ini sarat dengan cabaran dan perubahan, namun ia membuktikan komitmen yang konsisten bahawa tekad Kerajaan MADANI tidak pernah berganjak.

“Iaitu untuk memacu reformasi, memperkukuh tatakelola yang baik serta memastikan setiap dasar dan inisiatif benar-benar memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Tunku Nashrul berkata pelbagai inisiatif merentasi lapan segmen utama dipamerkan sepanjang program itu, antaranya Produk Rakyat MADANI, Belia MADANI, reformasi perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat, hubungan antarabangsa serta pengisian menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.

Kesemua inisiatif tersebut, katanya, dihimpunkan di bawah satu bumbung bagi memperlihatkan ekosistem dasar kerajaan secara holistik dan mudah diakses oleh rakyat.

Beliau berkata sepanjang penganjuran program, orang ramai berpeluang mendapatkan perkhidmatan secara langsung daripada kementerian dan agensi kerajaan, menyertai aktiviti kekeluargaan, karnival kerjaya, pemeriksaan kesihatan, Jualan Rahmah serta pameran keselamatan.

Selain itu, pelbagai pengisian berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik–Kecerdasan Buatan (STEM-AI), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), aktiviti sukan, pengangkutan dan pelancongan turut disediakan, termasuk inisiatif pertukaran helmet motosikal, yang dirangka untuk memberi manfaat terus kepada rakyat.

“Perdana Menteri dijadual menghadiri program ini pada 7 Dis bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan serta berinteraksi secara langsung dengan rakyat,” katanya.

Menurut Tunku Nashrul, Program Rancakkan MADANI juga membuka ruang kepada rakyat untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, barisan Jemaah Menteri dan pimpinan tertinggi kerajaan, sekali gus memperkukuh hubungan kepercayaan antara kerajaan dan rakyat.

“Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat yang berkelapangan untuk hadir, memanfaatkan peluang yang disediakan dan menyertai pelbagai inisiatif sepanjang tiga hari penganjuran.

“Rancakkan MADANI merupakan manifestasi tekad Kerajaan MADANI untuk terus berkhidmat dengan lebih cekap, lebih telus dan kekal berada pada landasan reformasi demi membina negara yang sejahtera, makmur dan berdaya saing,” katanya.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post