CYBERJAYA, 5 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya melaksanakan siasatan secara telus, terbuka dan menyeluruh tanpa melindungi mana-mana pihak berhubung insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka, serta kes-kes kematian dalam tahanan di negara ini.
Beliau berkata Jemaah Menteri
mengalu-alukan ketegasan PDRM dalam membanteras jenayah dan mengambil tindakan
terhadap penjenayah, namun menegaskan bahawa setiap aduan melibatkan dakwaan
salah laku atau ketidakpatuhan prosedur mesti disiasat secara terbuka dan
berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Saya telah mengarahkan Ketua Polis
Negara untuk meneruskan siasatan secara telus dan tidak melindungi sesiapa.
Kita tidak melindungi penjenayah, tetapi kita juga tidak akan melindungi
sebarang tindakan, termasuk oleh anggota polis, yang bertentangan dengan proses
negara hukum,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,500 jemaah di
Masjid Cyberjaya 10, di sini, hari ini.
Anwar berkata beliau turut meminta
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, supaya menyediakan laporan
yang terperinci, telus dan profesional kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail berhubung siasatan kes berkenaan.
Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan
Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan bahawa satu pasukan khas
telah ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki yang
ditembak mati dalam kejadian di Durian Tunggal pada 24 Nov lalu, yang
melahirkan ketidakpuasan hati terhadap tindakan pihak polis.
Pada hari kejadian, Ketua Polis
Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata tiga penjenayah berusia antara 24
hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang ke
arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Dalam insiden kira-kira jam 4.30 pagi
itu, seorang anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an mengalami
kecederaan parah di bahagian lengan kiri.
Siasatan mendapati kesemua suspek yang
dipercayai ahli Geng Durian Tunggal itu sedang dalam perjalanan untuk melakukan
samun dan aktif menjalankan kegiatan jenayah sejak 2024, melibatkan 20 kes di
Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan
jumlah kerugian dianggarkan RM1.35 juta.
Sementara itu, laporan media menyebut
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC)
memberikan penjelasan berhubung dakwaan kes seorang pemandu lori yang meninggal
dunia dalam tahanan polis, yang didakwa masih belum disiasat walaupun telah
melebihi sembilan bulan.

Post a Comment