PUTRAJAYA, 6 Dis - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sekali lagi menegaskan keperluan pelaksanaan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial sebagai langkah penting melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko eksploitasi serta pendedahan kepada kandungan tidak wajar dalam talian.
Beliau berkata, insiden melibatkan
seorang murid berusia seawal 10 tahun yang meminta gambar tidak senonoh
daripada gurunya menerusi aplikasi WhatsApp merupakan contoh jelas yang
menunjukkan keperluan sekatan penggunaan media sosial dalam kalangan golongan
muda.
Menurut Fahmi, kejadian itu
dimaklumkan sendiri oleh seorang guru dari Kuala Lumpur yang melaporkan bahawa
murid tahun empatnya telah menghantar mesej berunsur tidak sopan melalui
aplikasi pemesejan tersebut.
“Kita berharap isu seperti ini dapat
diatasi melalui sekatan terhadap platform media sosial dan sistem pemesejan
tertentu. Kita bukan berniat menghalang semua aplikasi, namun pada ketika ini
tumpuan adalah kepada media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang
media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat
2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI City Mall, di sini hari ini.
Fahmi turut menyatakan keyakinan
bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia maklum mengenai isu
berkenaan dan pelbagai insiden seumpamanya yang melibatkan pelajar sekolah.
Hadir sama pada majlis itu ialah
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian
Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (MCMC), Abdul Karim Fakir Ali; serta Ketua Pegawai
Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul
Afida Kamaludin.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi
berkata kementeriannya sedang bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina
Othman Said bagi melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 untuk
menjamin penggunaan Internet yang lebih selamat.
Beliau menjelaskan bahawa akta
tersebut membenarkan pengenaan denda sehingga RM10 juta, namun mekanisme
pelaksanaan dan penguatkuasaan sekatan umur media sosial masih sedang diteliti,
termasuk mengambil kira pendekatan yang dilaksanakan di negara lain seperti
Australia.
“Kita akan berbincang dengan platform
media sosial bagi merangka kerangka yang sesuai dengan konteks Malaysia,
termasuk proses pengesahan identiti menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti
MyKad, MyPR dan pasport bagi bukan warganegara,” katanya.
Tambahnya, pihak kementerian juga
telah menghubungi Suruhanjaya Tinggi Australia bagi mendapatkan maklumat
terkini mengenai pelaksanaan dasar had umur penggunaan media sosial di negara
itu, yang dijadual bermula 10 Dis ini.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan
bahawa Kempen Internet Selamat anjuran MCMC akan diteruskan pada awal tahun
hadapan selepas berjaya menarik penyertaan 8,462 sekolah melibatkan seramai
369,005 pelajar di seluruh negara setakat 30 Nov lalu.
“Pada peringkat awal, sasaran kita
adalah 10,000 sekolah. Tahun depan, kempen ini akan diperluaskan sebagai Kempen
Internet Selamat 2.0 dengan penglibatan lebih meluas komuniti termasuk rukun
tetangga, ibu bapa dan rumah-rumah ibadat bagi memastikan keselamatan dalam
talian dapat diperluaskan kepada seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
Menurut kenyataan MCMC, fokus kempen
pada 2026 adalah untuk meneruskan pelaksanaannya di sekolah dan Institusi
Pengajian Tinggi (IPT), selain memperluas jangkauan kepada kumpulan pengguna
Internet lain seperti warga emas, belia dan ibu bapa.
Sebelum ini, kempen berkenaan turut
diperluaskan kepada komuniti, agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan
masyarakat melalui 466 program yang melibatkan seramai 287,939 peserta.
Karnival Mega Kempen Internet Selamat
2025 menampilkan pelbagai aktiviti utama termasuk pertandingan akhir debat
antara IPT yang diadakan buat julung kali, forum, pameran keselamatan dalam
talian oleh pelbagai agensi serta aktiviti interaktif di reruai, yang berjaya
menarik hampir 3,000 pengunjung.

Post a Comment