Kenyataan KDN jejas hubungan dengan negara berfahaman Syiah — Mat Sabu

TIMBALAN Presiden Pas, Mohamad Sabu menyerahkan kuasa kepada peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengaitkan dirinya dengan pengamal Syiah.

Kenyataan ini sekaligus menyangkal 10 bukti mengenai perkara itu yang didedahkan oleh KDN hari ini.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, menafikan beliau adalah pengikut Syiah.

Bagaimanapun, beliau mengakui mengagumi pemimpin Iran, Khomeini 'kerana kepimpinan dan perjuangannya mampu membawa umat Islam lebih berdikari'.

Sebelum itu, Mat Sabu berkata, dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau pengikut Syiah tidak seharusnya dikeluarkan kerana ia bukan sahaja membabitkan dirinya malah boleh menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara yang mengamalkan ajaran Syiah.

"Ini satu kenyataan paling tidak cermat dan boleh keruhkan hubungan Malaysia dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sekali gus menyusahkan kerajaan kerana pertikaian akidah umat Islam sedunia," katanya.

Mat Sabu menegaskan dakwaan itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berjuang bersama Pas dalam merangka perhimpunan membantah kenaikan harga barang.

"Usikan Zahid tidak jejaskan perjuangan saya menentang kenaikan harga barang," katanya — EdisiRakyat.com 


Post a Comment

Previous Post Next Post