Pelakon wanita muda diperdaya, terpaksa berlakon filem lucah Jepun

PELAKON wanita muda, jelita yang sedang meningkat naik namanya dalam dunia lakonan dilaporkan terpedaya dengan ejen pencarian model sekaligus terpaksa berlakon dalam filem lucah di Jepun.

Tanpa berfikir panjang, Saki Kozai yang ketika itu berusia 24 tahun menurunkan tandatangan dalam sebuah perjanjian dengan sebuah agensi yang diperkenalkan kepadanya kerana percaya dirinya akan menjadi model dalam sebuah video promosi.




Namun, di hari pertama penggambaran Kozai mulai sedar bahawa ia bukanlah sebuah agensi model, selepas mendapati dia terpaksa melakukan adengan seks di depan kamera.

"Saya tak dapat menanggalkan pakaian, saya hanya menangis" katanya yang mendakwa sudah terperangkap, dan tidak dapat berpatah balik untuk keluar dari situasi itu.

"Ada 20 lelaki sedang menunggu dan mengelilingi saya. Tiada wanita boleh berkata tidak bila dikepung seperti itu" tambahnya.

Kozai yang kini berusia 30 tahun merupakan salah seorang daripada ramai wanita yang tampil mendedahkan bahawa mereka sebenarnya dipaksa untuk bekerja dalam industri porno Jepun.

Filem lucah boleh didapati dengan mudah di Jepun, lantaran dasar negara itu yang secara relatifnya mengambil sikap 'liberal' terhadap pornografi.

Namun sisi gelap industri itu jarang dibincang mahupun dilaporkan, terutama berhubung hak-hak mereka yang bekerja di dalamnya.

Banyak dakwaan mengatakan kadang kala wanita yang berlakon dalam adengan seks ganas sebenarnya dipaksa untuk melakukannya.

Tiga agensi pencarian bakat di Tokyo ditahan pada bulan Jun lalu dituduh memaksa seorang wanita untuk muncul dalam lebih 100 video-video lucah.

Seperti Kozai, wanita yang tidak dinamakan itu turut menyangka dirinya akan menjadi seorang model.

Para pengkritik mendakwa, kebanyakan wanita muda diperdaya dengan janji-janji dan tawaran untuk menjadi bintang terkenal.

Ada setengah wanita muda terlebih dahulu diumpan dengan gaya hidup mewah sebelum mereka dipaksa untuk berlakon dalam filem lucah bagi melangsaikan hutang.

Pihak agensi didakwa memerangkap mereka dengan ancaman, ugutan dan penipuan kontrak.

Sebuah kumpulan tidak bersifat keuntungan di Jepun, Lighthouse yang berusaha menghentikan aktiviti perdagangan manusia, mendakwa lebih 60 pelakon cuba untuk melarikan diri dari industri pornografi telah menghubungi mereka dalam 6 bulan pertama tahun 2016.

"Kami merasakan ia hanyalah sebilangan kecil dari bilangan sebenar (just the tip of the iceberg)" kata Aiki Segawa, seorang jurucakap bagi kumpulan itu.

"Kebanyakan mangsa rasa bersalah, dan merasakan itu semua adalah kesilapan mereka sendiri."

Rata-rata mereka adalah wanita muda berusia antara 18 hingga 25 tahun — mereka kurang pengetahuan tentang perjanjian kontrak, ditambah dengan kesukaran pembuktian di mahkamah.

"Mereka semua tidaklah semestinya dikurung atau dipaksa, tetapi lebih kepada diperdaya untuk melakukannya" kata Segawa lagi. — EdisiRakyat.com, 7 Oktober 2016
Previous Post Next Post