PLUS kenakan denda jika melepak lebih 1 jam setengah di RNR

SEORANG pengguna Lebuhraya PLUS yang menggunakan perkhidmatan itu di sekitar Gurun menuju ke Pendang mendakwa dikenakan denda ketika keluar dari tol dengan alasan beliau berada lebih 1 jam setengah di kawasan Rehat dan Rawat (RNR).

Damar Wulan melalui akaun facebook miliknya mendakwa terpaksa membayar RM3.00 kadar bayaran tol, beserta tambahan RM9.40 sebagai denda kerana tinggal melebihi 1 jam setengah di RNR Gurun, Kedah.

Beliau turut mengirimkan resit denda bayaran tunai yang dikenakan terhadapnya dalam tulisannya di facebook.




Menurutnya lagi, pihak PLUS memberikan alasan jika seorang pengguna tinggal lama di kawasan RNR, mereka mengesyaki penipuan dilakukan oleh pengguna lebuhraya.

Damar mendakwa telah menghubungi talian Hotline PLUS 1800880000 namun tiada jawapan pasti diberikan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa tidak diletakkan papan tanda amaran tidak dibenarkan berehat melebihi 1.5 jam di kawasan RNR sebagai amaran awal kepada pengguna lebuhraya.

Portal Utusan Malaysia sebelum ini (25 Jan 2005) pernah melaporkan, tindakan PLUS Expressway Berhad (PLUS) mengenakan denda kepada pengguna yang didakwa berada di Lebuhraya Utara Selatan melebihi had waktu yang munasabah adalah salah dari segi undang-undang.

Memetik kenyataan Khutubul Zaman, Pengerusi Majlis Peguam pengendali lebuhraya tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang negara untuk berbuat demikian.

"Kuasa untuk mengenakan denda atau kompaun memerlukan peruntukan undang-undang yang diluluskan di parlimen, Dewan Undangan Negeri atau undang-undang kecil di bawah mana-mana akta" katannya. — EdisiRakyat.com, 9 Oktober 2016
Previous Post Next Post