Pemandu lori berhimpun di tol, tanda sokongan kepada pemandu yang dibelasah

SEKUMPULAN pemandu-pemandu lori dilaporkan berhimpun di plaza tol Sungai Besi pada hari Ahad sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap sahabat mereka yang dibelasah di Kondominium Bukit Antarabangsa baru-baru ini.


Menurut kumpulan itu, mereka berhimpun secara aman untuk mengecam tindakan membelasah rakan pemandu mereka sebelum ini.

Mereka turut menggesa pihak polis mengambil tindakan segera terhadap mereka yang bertanggung jawab melakukan perbuatan jenayah tersebut.

Pemandu yang menjadi mangsa belasahan dilaporkan turut serta dalam perhimpunan aman itu.


Kejadian yang berlaku pada hari Khamis lalu tersebar melalui rakaman video yang menular (viral) di laman sosial, menyaksikan seorang pemandu lori dan seorang kelindan dibelasah berdekatan pondok kawalan keselamatan sebuah kondominium.

Kejadian itu dikatakan berpunca apabila lori yang dipandu oleh mangsa telah terlanggar bahagian depan sebuah kereta jenia Mercedes-Benz ketika sedang mengundur.

Berlaku pertengkaran yang berlanjutan kepada aksi seorang pemandu lori dibelasah manakala seorang lagi kelindan bertindak menyelamatkan diri daripada dipukul.

Setakat ini, polis dilaporkan telah mengambil kenyataan daripada 15 individu bagi melengkapkan siasatan kes tersebut. — EdisiRakyat.com, 22 Januari 2017
Previous Post Next Post