Kesan pengambilan syabu kepada otak manusia

SYABU atau methamphetamine, adalah antara dadah yang menyebabkan ketagihan melampau. Ia merupakan dadah jenis perangsang atau stimulan yang menyerupai batu kristal. Ia juga dikenali dengan nama ais, batu, kristal, dan kaca.



Syabu mudah didapati kerana ia boleh dihasilkan di makmal atau kilang haram yang dibina di belakang rumah. Bukan itu sahaja malah peralatan serta bahan untuk menghasilkan syabu boleh diperolehi dari mana-mana kedai atau dibeli secara online.

Berdasarkan kajian, syabu tidak mempunyai sebarang manfaat perubatan. Cara pengambilan syabu dikenali sebagai "chasing the dragon" yang mana pengambilan cara ini boleh menyebabkan seseorang "high" atau "berkhayal" dalam jangka masa antara 5 hingga 10 saat kerana kesannya terus sampai ke otak.

Apa sebenarnya terjadi apabila seseorang mengambil syabu?

Otak manusia mempunyai pusat sistem ganjaran di mana 'dopamin' dihasilkan iaitu sejenis bahan kimia semulajadi yang memberikan ganjaran, keseronokkan apabila seseorang berbuat baik atau mencapai sesuatu perkara.

Dopamin Otak

Syabu boleh merangsang pembebasan dos dopamin pada kadar yang luar biasa. Jika keseronokkan makan atau melakukan hubungan intim akan menghasilkan sebanyak 150 dos 'dopamin', syabu boleh melonjakkan dos tersebut sehingga 1200 dos bersamaan dengan hampir lapan kali ganda daripada kemampuan semulajadi manusia.

Proses penghasilan 'dopamin' secara paksa ini akan merosakkan sel-sel yang menghasilkan 'dopamin' secara semulajadi. 

Apabila sel-sel berkenaan telah rosak, maka 'dopamin' yang dihasilkan secara semulajadi akan berkurangan. Inilah punca mengapa individu yang mengambil syabu merasa kurang puas dan ingin terus mengambil syabu dengan lebih banyak sekaligus menyebabkan ketagihan.


Antara kesan ketagihan syabu, menyebabkan individu menjadi kurang berselera untuk makan, mengalami masalah tidur, perubahan mood, serta mengalami 'psychosis' atau gangguan mental.

Syabu juga boleh menyebabkan kerosakan otak secara kekal dalam tempoh yang singkat. Jika anda tidak mahu menjadi orang gila, jangan sesekali mengambil syabu.

Ketagihan juga menyebabkan seseorang bertindak secara agresif. individu yang mengalami ketagihan tidak kisah dan tidak peduli untuk memukul, menyamun, malah sanggup untuk membunuh orang.

Akhir sekali jika syabu diambil dalam kuantiti yang terlalu banyak, ia juga boleh menyebabkan kematian. — EdisiRakyat.com, 16 Disember 2020

Post a Comment

Previous Post Next Post