Halimah Yacob bakal Presiden Wanita Melayu pertama Singapura

WANITA pertama yang menjadi Speaker Parlimen Singapura, Halimah Yacob kini disebut-sebut pula sebagai bakal wanita Melayu pertama menjadi Presiden Singapura.

Pindaan kepada Rang Undang-undang Pemilihan Presiden Singapura telah diluluskan pada hari Isnin dengan mendapat sokongan majoriti selepas dibahaskan selama kira-kira tiga jam oleh lapan anggota parlimen negara republik tersebut.



Rakyat Singapura dilapor akan memilih presiden yang baru bagi republik itu pada bulan September tahun ini. Pemilihan kali ini amat berbeza kerana kerusi calon presiden telah diperuntukkan hanya untuk calon-calon berbangsa Melayu.

Kali terakhir jawatan itu dipegang oleh orang Melayu ialah sekitar 50 tahun yang lalu di mana ketika itu, Yusof Ishak dilantik sebagai Presiden pertama Singapura.

Ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Chan Shun Sing telah tersasul sebanyak dua kali merujuk Halimah sebagai 'Puan Presiden' dan bukannya 'Puan Speaker' panggilan yang sepatutnya untuk beliau.

Perkara itu mendapat respon hebat dan menggalakkan daripada ahli-ahli parlimen, malah kejadian itu turut menjadi tular (viral) di internet, dan media sosial apabila ramai netizen berkongsi sebuah artikel bertajuk "S'poreans congratulate Halimah Yacob becoming new president" (Rakyat Singapura ucap tahniah kepada Halimah Yacob yang bakal menjadi presiden baru).

Halimah Yacob merupakan ahli parti pemerintah People's Action Party (PAP). Beliau kini merupakan speaker Parlimen yang ke sembilan selepas mencipta sejarah pada 14 Januari 2013 apabila menjadi wanita pertama yang menjawat jawatan itu.

Beliau juga merupakan calon ketiga berturut-turut menjawat jawatan speaker dari kalangan bangsa minoriti di Singapura selepas Abdullah Tarmugi, dan Michael Palmer.

Halimah pernah berkhidmat sebagai menteri di Kementerian Kemajuan Komuniti, Belia dan Sukan dari tahun 2011 hingga 2013. — EdisiRakyat.com, 10 Februari 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post