Lelaki bergelar Tan Sri tawar rasuah RM2 juta kepada Sultan Johor direman 5 hari

SEORANG ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang berasal dari Klang Selangor, ditahan reman selama lima hari berhubung dakwaan cuba menawarkan rasuah kepada Sultan Johor sebanyak RM2 juta.

Tan Sri berusia 54 tahun itu telah direman selama lima hari sehingga 4 April untuk membolehkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadapnya.




Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 16 akta Anti Rasuah Malaysia. Suspek tiba di mahkamah pada hari Jumaat diiringi oleh pegawai-pegawai dari SPRM untuk dibawa di depan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

Suspek diwakili oleh barisan peguam-peguam, Datuk K. Kumaraendran, Jr Tey dan Datuk Joshua Kevin.

Pada hari Khamis lalu, pihak SPRM memberikan tempoh sehingga tengah malam kepada suspek untuk keluar daripada persembunyian dan menyerah diri atau identitinya akan didedahkan kepada umum.

Penahanan itu susulan dakwaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menulis di laman sosial Facebook miliknya mendakwa baginda telah ditawarkan wang sebanyak RM2 juta supaya mencadangkan nama seseorang kepada Ketua Setiausaha Negara untuk memperolehi gelaran 'Tan Sri'.

Sultan Johor dikatakan merasa murka dan terhina dengan tawaran rasuah oleh individu terbabit.

Suspek juga dilaporkan sangat mementingkan pangkat dan darjat sehingga menggelarkan dirinya sendiri sebagai 'Tan Sri Datuk Dr'.

Difahamkan pihak berkuasa sedang menyiasat tuduhan bahawa saspek merupakan 'broker' bagi mendapatkan gelaran diraja selain itu pihak berkuasa juga sedang menyiasat punca pendapatannya. — EdisiRakyat.com, 31 Mac 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post