KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap penyebaran beberapa video berunsur fitnah dan hasutan berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) di media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Individu yang terlibat sedang dikenal pasti dan tindakan lanjut akan diambil mengikut saluran undang-undang. Sebaran palsu sebegini adalah jenayah serius,” katanya.
Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, mengesahkan laporan telah dibuat kepada polis dan MCMC.
Ia susulan hantaran video berunsur provokasi dan tuduhan melulu berkaitan pelan penjenamaan serta tadbir urus TH.
Mustakim menegaskan penjenamaan semula itu bertujuan memperkasakan peranan TH sebagai institusi simpanan umat Islam bagi mengembangkan simpanan dan menunaikan ibadat haji.
Terdahulu, Fahmi mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah di media sosial dan mengambil iktibar daripada kes sebelum ini, termasuk insiden menimpa pelajar bernama Zara Qairina Mahathir yang menjadi mangsa dakwaan palsu.
Dalam perkembangan itu, beliau mengesahkan individu menyamar sebagai pakar patologi dan menyebarkan dakwaan tidak berasas dalam kes terbabit telah direman dan akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.— Edisi Rakyat.com
Post a Comment