Cara merawat luka terbakar dan melecur yang betul

KAEDAH dan cara merawat luka terbakar ataupun melecur bergantung kepada berapa teruknya kerosakkan dialami oleh tisu ataupun kulit yang terjejas.

Kecederaan kecil (minor) selalunya boleh dirawat di rumah sahaja tanpa perlu anda bertemu dengan pakar. Kecederaan akibat terbakar atau melecur yang dianggap sebagai 'minor' termasuklah "first-degree burn" (kebakaran darjah pertama) dan "second degree burns" (kebakaran darjah kedua) yang mana keluasannya tidak lebih 2 inci diameter.

Di dalam merawat kecederaan akibat melecur, tahap kecederaan perlu segera dinilai sekiranya ia melibatkan saiz kecederaan yang lebih luas.

Seorang pengamal perubatan juga perlu menilai sekiranya kesan terbakar menunjukkan sebarang tanda jangkitan seperti, lelehan, sakit yang berlanjutan, kemerah-merahan dan bengkak.

Kebakaran darjah pertama hanya melibatkan bahagian paling atas atau paling luar lapisan kulit (epidermis).

Tanda-tanda dan simptom kebakaran darjah pertama termasuklah kulit berwarna merah dan sedikit bengkak serta sakit sekiranya disentuh.



Manakala kebakaran darjah kedua pula, melibatkan kecederaan bahagian luar dan kedua pada lapisan kulit (dermis). Tanda-tanda dan simptom kebakaran jenis ini pula termasuk, kesakitan, bengkak, warna merah pekat, keadaan melepuh dan bernoda.

Bagi kecederaan tahap minor seperti ini, rawatan di rumah adalah sudah memadai.

CARA-CARA RAWATAN

Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah — letakkan bahagian kulit yang cedera di bawah air yang mengalir untuk jangka masa yang cukup panjang bagi mengurangkan kesakitan. Ia mungkin mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit.

Jika tiada punca air yang mengalir, masukkan bahagian kulit yang terbakar di dalam air yang sejuk atau tekap dengan kain basah. Jangan letakkan ais secara terus kepada bahagian kulit yang terbakar, kerana ia boleh merosakkan lagi tisu berkenaan.

Keringkan kawasan cedera dengan kain yang bersih, balut dengan pembalut yang bersih dan ringan. Jangan sapu minyak ataupun mentega, kerana ia boleh memendam haba di dalam kulit — mengakibatkan kerosakan lebih teruk kepada tisu — tambahan ia meningkatkan risiko jangkitan.

Sekiranya perlu, ambil ubat penahan sakit bagi mengurangkan kesakitan.

Sekiranya kulit melecur akibat bahan kimia, pastikan bahan kimia tersebut atau pakaian atau perhiasan yang bersentuhan dengan bahan kimia itu dipisahkan.

Jangan dipecahkan sekiranya terdapat kesan melepuh. Sekiranya kesan melepuh tersebut pecah dengan sendirinya, cuci kawasan itu dengan sabun dan air, letakkan antibiotik dan balut kawasan tersebut.

Dapatkan rawatan pakar sekiranya muncul kesan melepuh yang besar kerana kesan lepuhan ini mungkin perlu dibuang.

Pantau kecederaan itu setiap hari selepas ia dibasuh secara lembut dan pembalutnya ditukar. Perhatikan jika kesan terbakar menyebarkan haba, kemerahan atau bengkak kerana ia mungkin petanda terdapatnya jangkitan pada kulit.

Sekiranya kecederaan tidak juga sembuh sila dapatkan rawatan doktor.

Kecederaan akibat kebakaran memerlukan perhatian perubatan dengan segera sekiranya ia melibatkan kawasan yang besar pada badan, ataupun ia melibatkan kawasan yang luas di bahagian tangan, muka, kaki, kemaluan, punggung, mata, mulut ataupun sendi-sendi major. — EdisiRakyat.com, 27 September 2017

2 Comments

Post a Comment

Previous Post Next Post