Hakim minta ibu tentukan hukuman untuk anaknya

DALAM satu tindakan yang jarang-jarang dilihat dalam Mahkamah Malaysia, seorang Hakim Majistret pada hari Selasa memberi peluang kepada seorang ibu menentukan hukuman untuk dijatuhkan terhadap anaknya yang bersalah mengugut ibunya menggunakan sebilah gunting.

Majistret Nik Habri Muhamad dilapor meminta Rahimah Abdul Rahman, 52 untuk menghukum anak lelakinya, Adam Abdullah, 28 yang telah melakukan kesalahan itu di Lot 2606 Kampung Terap Banggu pada jam 9.30 pagi 19 Jun lalu.

Adam didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kata Nik Habri, Rahimah boleh memberi hukuman yang ringan ataupun berat terhadap anaknya.



Terdahulu, Nik Habri memberi peluang kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam untuk membuat rayuan terhadap hukuman yang bakal dijatuhkan terhadapnya.

Adam dalam rayuannya memohon maaf kepada ibunya dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan.

Nik Habri kemudian memanggil Rahimah ke sebelah kandang tertuduh bagi memberi penghormatan kepada mangsa untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.

“Saya beri penghormatan kepada mak kamu untuk hukum kamu. Makcik jangan takut kepada anak. Makcik boleh mohon nak hukuman berat atau ringan dan saya akan pertimbangkan,” katanya.

Rahimah bagaimanapun dilaporkan telah memaafkan anaknya, dan mengambil keputusan untuk mengenakan satu hukuman yang ringan. Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman 1 tahun penjara terhadap Adam bermula dari tarikh kesalahan dilakukan (19 Jun).

Nik Habri berkata, kes berkenaan diharap dapat dijadikan pengajaran kepada tertuduh serta orang lain agar menghormati ibu masing-masing.

“Saya serius dengan kes begini. Kamu bernasib baik kerana mak kamu minta hukuman ringan. Ada kes lain saya bagi hukuman penjara maksimum lima tahun.

“Kalau kamu ulangi kesalahan sama saya akan kenakan hukuman berat. Kerana menghargai permintaan mak kamu, saya hukum kamu dengan penjara 12 bulan,” katanya. EdisiRakyat.com, 4 Oktober 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post