Mahkamah Tinggi batalkan pembebasan Bilqis yang jatuhkan belon dalam majlis PM

MAHKAMAH tinggi dilaporkan telah menarik balik pembebasan seorang penari, Bilqis Hijjas yang didakwa melakukan perbuatan menghina dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh perdana Menteri dan isteri.

Hakim Mohamad Suffian Abdul Razak pada hari Selasa memerintahkan Bilqis, anak perempuan kepada arkitek terkenal Hijjas Kasturi supaya membela diri selepas menyebelahi rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret pada 1 Julai lalu yang membebaskannya daripada tuduhan tersebut.

Menurut hakim, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie kes terhadap Bilqis.

Ditemui oleh wartawan selepas keputusan itu, peguam yang membela Bilqis, Eric Paulsen berkata, pihaknya akan memanggil seorang saksi.

Bilqis dituduh menjatuhkan belon-belon daripada tingkat lima sebuah pasaraya di Bukit Bintang pada jam kira-kira pukul 3.15 petang pada 31 Ogos 2015.



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor ketika itu sedang menghadiri acara DiverseCity 2015, Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur di tingkat bawah bangunan yang sama.

Belon-belon tersebut mengandungi tulisan, "democracy" (demokrasi), "free media" (media bebas), dan "justice" (keadilan).

Wanita Itu didakwa di bawah Seksyen 14 akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan yang menghina dengan niat untuk mencetuskan kemarahan yang boleh menimbulkan kekacauan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM100 jika sabit kesalahan.

Bilqis, 27 sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret pada 24 September 2015, yang mana ketika itu beliau meminta dibicarakan. Hakim Majistret membebaskannya daripada tuduhan itu pada 1 Julai. EdisiRakyat.com, 3 Oktober 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post