Wakil rakyat guna duit gaji bantu penduduk jadi usahawan

MESKIPUN tiada peruntukan yang diterima daripada kerajaan negeri, kerana dipilih menjadi wakil rakyat mewakili parti pembangkang, tidak menjadi halangan kepada Shamsul Iskandar, Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka untuk membantu penduduk di kawasannya.

Melalui Program diberi nama "Inisiatif Peduli Rakyat Parlimen Bukit Katil", Shamsul menggunakan sebahagian daripada duit gaji yang diterima sebagai ahli parlimen sejak 4 tahun lalu untuk memberikan kiosk perniagaan percuma kepada penduduk-penduduk kurang berkemampuan menjadi usahawan di kawasannya.

Pendekatan "memberi pancing, bukan ikan" itu kata Nur Arifah Asuan, penyelaras program tersebut, diharap dapat meningkatkan ekonomi golongan berpendapatan rendah di Bukit Katil.

kiosk

"Kita harap dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah sekaligus membina budaya usahawan di kalangan penduduk kurang berkemampuan," katanya yang ditemui selepas sesi temubual bersama bakal penerima kiosk di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Katil semalam.

temubual

Tambahnya lagi, penerima yang layak tidak perlu membayar balik kiosk perniagaan yang bernilai RM5,000 setiap satu itu, namun disyaratkan untuk berniaga secara aktif dan menghasilkan seorang lagi usahawan lain.

"Kita ada mekanisma di mana setiap penerima mesti berniaga dan jadi usahawan berjaya, kemudian mereka perlu lahirkan seorang lagi usahawan seperti mereka,"

"Kita bukan sahaja beri kiosk perniagaan, malah kita berikan perkakas, bahan, peralatan, idea dan lain-lain. Penerima hanya perlu bawa badan untuk berniaga, kerana semua sudah disediakan,"

perkakas

"Selain itu, kita juga memberikan kursus kepada mereka cara mengendalikan perniagaan ini dari A sampai Z," jelasnya.

Tambahnya lagi, program pemberian kiosk perniagaan percuma itu diteruskan lagi selepas melihat kejayaannya sebelum ini yang dimulakan sejak Bulan Ramadhan tahun ini.

"Sambutan agak menggalakkan, maka program ini akan diteruskan untuk membantu lebih ramai penduduk di sini," katanya. — EdisiRakyat.com, 29 Disember 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post