Kuil Seafield diminta pulangkan wang RM1.5 juta dan tanah diterima dari pemaju

KERAJAAN Selangor meminta pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, Selangor memulangkan semula tanah dan wang pampasan yang diterima daripada pemaju sebelum ini.

Kuil Sri Maha Mariamman

Menteri Besar Amirudin Shari berkata tapak tanah seluas 0.405 hektar (satu ekar) dan wang pampasan berjumlah RM1.5 juta yang diberikan oleh pemaju perlu dipulangkan semula sebagai sebahagian daripada penyelesaian yang dicadangkan oleh Peguam Negara.

"Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik kenyataan Peguam Negara berkenaan isu Kuil Seafield dan bersetuju dengan penyelesaian yang dicadangkan oleh Peguam Negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang," katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Peguam Negara, Tommy Thomas, semalam berhubung isu kuil terbabit yang antara lain berkata , tertakluk kepada terma dipersetujui, One City Development Sdn Bhd akan memindah hak milik plot tanah seluas satu ekar terletaknya Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya kepada pemegang amanah yang akan diuruskan oleh Mahkamah Tinggi.

Menurut kenyataan Peguam Negara itu, penyelesaian yang dicadang dan disokong hasil pertemuan peguam berkenaan di pejabatnya awal minggu ini termasuk Peguam Negara akan memohon kepada Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956 untuk melantik pemegang amanah bagi menguruskan amanah dan kuil itu.

"Mahkamah Tinggi akan diminta untuk melantik seorang penerima, yang merupakan seseorang yang mempunyai reputasi yang baik, ternama dan berintegriti, yang boleh diterima oleh semua pihak bertelagah, sebagai seorang pegawai mahkamah untuk mengawal dan menjaga ke atas pemegang-pemegang amanah kuil serta tertakluk kepada pantauan mahkamah," katanya.

Pada hujung bulan lepas, Selangor digemparkan dengan insiden kekecohan di kuil itu yang menyaksikan polis menahan 106 indvidu setakat ini bagi membantu siasatan.

Kejadian itu turut menyaksikan seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, cedera parah akibat dipukul perusuh dan kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN). — BERNAMA

Post a Comment

Previous Post Next Post