Perut kerap masuk angin petanda penyakit serius

PERUT masuk angin atau perut kembung terjadi apabila saiz perut anda membesar lebih dari saiz kebiasaan atau saiz normal. 



Keadaan itu akan membuatkan perut membesar dan kelihatan buncit, bukan itu sahaja malah ia menyebabkan anda merasa tidak selesa kerana keadaan itu mungkin membuatkan perut anda berasa sakit, senak atau memulas.

Perut kerap masuk angin

Istilah lain bagi keadaan kembung perut juga dipanggil sebagai "angin medu" yang dikaitkan dengan keadaan perut memulas dan berangin.

Perlu juga anda ketahui bahawa jika anda sering mengalami masalah perut kembung atau berangin, ia mungkin petanda anda menghidap penyakit yang lebih serius.

Biasanya kita akan menggunakan pelbagai kaedah dan cara menghilangkan sakit perut seperti urutan kendiri, atau menyapu minyak angin untuk "buang angin" supaya rasa tidak selesa, dan senak perut dapat dihapuskan atau paling tidak boleh dikurangkan.

Dr Ari Fahrial Syam, seorang pakar penyakit dalaman dari Indonesia, mengesahkan bahawa jika seseorang sering mengalami masalah perut berangin, ia mungkin petanda individu berkenaan menghidap penyakit yang lebih serius.


Menurutnya, pertama sekali perlu diketahui, keadaan perut kembung itu dirasakan di bahagian mana, jika bahagian atas perut, ia mungkin berpunca daripada masalah ulu hati, jika di bahagian bawah perut, ia berpunca dari usus besar.

Jelasnya jika seseorang merasakan perut kembung, namun tidak boleh kentut dan buang air besar itu menunjukkan petanda yang berbahaya, kemungkinan individu berkenaan mempunyai masalah di bahagian usus.

Perkara itu juga boleh terjadi akibat seorang pesakit memakan ubat tertentu sehingga mengakibatkan ususnya menjadi lemah, keadaan itu biasanya bermula dengan gejala perut kembung.

"Jadi kembung perut mungkin petanda anda menghidap penyakit yang sangat serius, tapi kalau penyakit kembung yang biasa contohnya selepas makan ia mungkin wajar dan tidak perlu merasa bimbang," 

"Atau kita terlambat makan dan merasakan perut berangin atau kembung kerana gas dalam perut berlebihan, contohnya kita terlalu asyik berbual sampai lupa makan misalnya, keadaan seperti itu tidak perlu khuatir," katanya.

Kembung perut juga mungkin petanda ulser perut atau ketumbuhan.

Tambahnya lagi perut kembung dan tidak selesa di bahagian ulu hati, termasuk merasa berangin dan cepat kenyang mungkin petanda individu tertentu menghidap ulser perut atau ketumbuhan di dalam perut.

Apa beza perut kembung biasa dengan petanda menghidap penyakit berbahaya?


Menurut Dr Ari Fahrial, keadaan perut berangin yang biasa dan tidak berbahaya biasanya hanya dengan kentut dan sendawa atau sudahbuang air besar mampu untuk memberi kelegaan atau keselesaan kepada individu. 

Katanya, jika kita merasa perut berangin, memulas, atau kembung yang amat sangat, cuba usahakan untuk kentut atau sendawa dengan cara mengurut perut dari bahagian bawah ke atas untuk membolehkan sendawa, atau melakukan urutan dari atas ke bawah, supaya boleh kentut.

"Bagi perut kembung yang berbahaya, biasanya semakin lama perut semakin membesar, sampai sakit tidak boleh bergerak, dan mengalami muntah-muntah. Jika anda mengalami kembung begitu, ertinya ia bukan kembung yang biasa," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Ari Fahrial turut menyangkal pendapat umum yang mengatakan, aktiviti makan terlalu cepat boleh menyebabkan perut kembung.

"Jika seseorang itu sihat tidak ada masalah makan dengan cepat, makan dengan cepat tidak akan menyebabkan perut kembung,"

"Namun makan dengan cepat itu perbuatan yang tidak sihat, kerana jika kita makan dengan cepat biasanya kita tidak sempat mengunyah terlebih dahulu, sekaligus menyebabkan kita makan lebih banyak,"


"Kita perlu mengunyah makanan dengan lebih lama, kerana ia akan menghantar isyarat kepada otak untuk menekan nafsu makan kita, seterusnya jumlah makanan yang kita ambil akan berkurang,"

"Selain itu perut kita memerlukan makanan yang terlebih dahulu sudah hancur di mulut, jika kita makan terlalu cepat, proses penyerapan zat makanan di dalam perut tidak dapat berlaku dengan berkesan selain ia membebankan sistem pencernaan kita," katanya.

Catat Komen

0 Ulasan