Senarai buah-buahan berkhasiat dan tinggi kandungan vitamin C selain limau

BADAN manusia sangat memerlukan Vitamin C, kerana ia merupakan salah satu vitamin yang sangat penting untuk rawatan dan membaik pulih sel-sel di dalam gigi, kulit dan tulang selain ia sangat penting untuk pertumbuhan tubuh secara keseluruhan.



Vitamin C juga membantu meningkatkan sistem imunisasi pertahanan badan di dalam melawan penyakit dan jangkitan dengan cara menggandakan penyerapan zat besi sekaligus membantu mencegah kerosakan sel-sel di dalam tubuh badan.

Buah-buahan

Justeru pengambilan sumber yang kaya dengan vitamin C adalah amat penting bagi badan kita, lebih-lebih lagi di kala ini negara kita Malaysia berdepan dengan ancaman wabak coronavirus, (Covid-19) yang boleh membawa maut.

Kebanyakkan orang tentu tahu bahawa vitamin C boleh didapati daripada pelbagai jenis buah-buahan import dan tempatan. Antara buah-buahan paling popular mengandungi vitamin C tentu sekali limau, dan sebab itu banyak produk-produk di pasaran yang berasaskan limau dipromosikan sebagai sumber vitamin C bermanfaat.

Selain itu kita juga boleh lihat di pasaran, pelbagai jenis tablet makanan tambahan yang membekalkan vitamin C berasaskan limau.

Namun sebenarnya terdapat banyak buah-buahan berkhasiat yang boleh diperolehi di pasaran mempunyai kandungan vitamin C lebih tinggi berbanding limau.

Jadi kalau anda tak dapat nak membeli buah limau kerana ia sudah kehabisan stok di pasaran, janganlah susah hati, kerana masih banyak lagi buah-buahan lain yang boleh dimakan bagi menggantikan buah limau di dalam membekalkan vitamin C untuk tubuh badan kita.

Berikut senarai antara buah-buahan yang dimaksudkan.


1. Betik

Tahukah anda bahawa kandungan vitamin C di dalam buah betik sebenarnya lebih tinggi dari buah limau? Ada jenis buah betik tertentu yang mengandungi sehingga 94 mg vitamin C selain ia kaya juga dengan serat, vitamin A, vitamin B Kompleks, kalium dan kalsium.

Justeru pengambilan buah betik mampu memberi manfaat kepada tubuh terutama di dalam melancarkan sistem pencernaan dan penyah tinjaan kerana kehadiran serat.

Selain itu kehadiran vitamin A tidak bermusim ini, mampu memberikan kesihatan yang baik kepada kulit dan mata, dan ia turut membantu meningkatkan kadar metabolisme tubuh kerana kehadiran vitamin B Kompleks (Asid Folat, vitamin B1, Vitamin B2, dan Vitamin B6).

Manakala kehadiran kalium pula dapat membantu mengawal tekanan darah.

2. Jambu Batu

Berdasarkan kajian yang dijalankan, buah jambu batu sebenarnya merupakan buah yang mengandungi vitamin C paling tinggi berbanding buah-buahan lain.

Sebiji buah jambu batu mengandungi kandungan vitamin C sebanyak 206 mg berbanding kandungan vitamin C di dalam sebiji buah limau yang hanya berjumlah 50 hingga 80 mg.

Seperti buah betik, buah jambu batu juga mempunyai kandungan serat yang tinggi. Dan kandungan seratnya juga melebihi kandungan serat di dalam buah limau.


3.  Kiwi

Sebiji buah kiwi pula mengandungi vitamin sebanyak 84 mg sekaligus menunjukkan ia mengandungi lebih tinggi vitamin C secara purata berbanding buah limau, ditambah pula dengan kandungan antioksidan yang tinggi dalam buah kiwi boleh membantu melawan jangkitan dan radikal bebas dalam tubuh.

Buah kiwi juga merupakan sumber makanan yang kaya dengan asid lemak omega 3, dimana ia dapat membantu menurunkan risiko penyakit jantung dan serangan strok.

Seperti buah-buahan lain, Buah Kiwi turut mengandungi vitamin A vitamin E dan vitamin K. Ia juga mengandungi mineral seperti kalium, zat besi dan magnesium.

4. Mangga

Kandungan vitamin C yang terdapat dalam buah-buahan segar mangga juga tidak kurang hebatnya iaitu sebanyak 29 mg bagi setiap biji. Mangga juga kaya dengan vitamin A, Vitamin B6, Vitamin E, kalium dan tembaga.


5. Nanas

Dalam setiap 100 gram kuantiti nenas, terdapat sejumlah 47.8 mg Vitamin C. ia sekali gus menjadikan nanas sebagai sumber vitamin C yang tinggi dan dapat membantu sistem imun badan melawan jangkitan kuman.

Nanas juga mengandungi kalsium, Asid Folat, Zat besi, magnesium, fosforus, kalium dan zink, selain turut sama mengandungi Vitamin A, B6, E dan K.

Dalam masyarakat tertentu nanas dijadikan sebagai tumbuhan perubatan kerana ia mempunyai sejenis bahan yang dipanggil 'bromelain' yang dapat mengurangkan keradangan.

6. Stawberry

Stawberry merupakan buah-buahan berasal dari luar negara, namun ia kini sudah ditaman secara meluas di negara kita. Buah wajib dibeli jika anda pergi melawat ke kawasan tanah tinggi di Malaysia antaranya Cameron Highlands dan Genting Highland ini juga antara yang mempunyai kandungan tinggi vitamin C.

Berdasarkan kajian setiap 100 gram strawberry mengandungi sejumlah 58.8 mg vitamin C. 

Berdasarkan kajian, jika anda memakan tujuh biji strawberi mampu membekalkan lebih banyak vitamin C berbanding anda memakan sebiji buah limau. 

Jadi selepas ini anda boleh galakkan keluarga dan rakan-rakan untuk mengamalkan pengambilan buah-buahan dalam kehidupan harian. Boleh juga sertakan buah-buahan sebagai menu ketika mesyuarat bagi meningkatkan kesihatan kakitangan di tempat kerja — EdisiRakyat.com, 14 Disember 2020

Post a Comment

Previous Post Next Post