Kisah aktivis anti nuklear dibunuh oleh ejen rahsia kerajaan Perancis

PADA tahun 1980 an kerajaan Perancis sering melakukan ujian senjata nuklear di Polynesia, sebuah wilayah yang terletak di Lautan Pasifik terdiri daripada lebih 1,000 pulau-pulau yang berselerak.



Namun terdapat sebuah kumpulan aktivis hak asasi manusia dan anti-nuklear bernama Greepeace yang membantah keras tindakan itu.

Rainbow Warrior Bombing

Organisasi itu mempunyai sebuah kapal bernama "Rainbow Warrior" yang digunakan untuk melakukan protes secara aman terhadap ujian nuklear berkenaan.

Pada 10 Julai 1985, Rainbow Warrior telah berlayar dan berlabuh di Auckland, New Zealand bersiap sedia untuk melakukan bantahan terhadap ujian nuklear yang bakal dijalankan oleh kerajaan Perancis berhampiran pulau Moruroa terletak di Lautan Pasifik.

Ketika itu hampir tengah malam, kapten kapal berkenaan, Pete Willcox dan ramai petugas serta anak kapal sudah lena dibuai mimpi.

Beberapa orang lagi termasuk jurugambar Fernando Pereira masih berbual-bual di kalangan mereka dalam sebuah bilik kecil yang berselerak sambil menghabiskan dua botol beer yang dikongsi bersama.


Tiba-tiba, lampu di dalam kapal itu padam, suasana menjadi gelap. Mereka terdengar bumi kaca pecah disusuli suara percikan air yang kuat. Pada awalnya mereka menyangka telah diserang oleh kumpulan lanun.

Kemudian berlaku pula letupan kedua. Mereka yang berada di atas dek kapal ada yang cuba memanjat tangga dan ada yang melompat ke atas jeti  pelabuhan untuk menyelamatkan diri.

Dalam masa beberapa minit, mereka menyaksikan tiang Rainbow Warriow menjadi condong sebelum kapal itu mula tenggelam ke dalam air.

"Saya berdiri di sana menyaksikan buih-buih keluar dari kapal," kata Kapten Pete Willcox mengimbau kembali kejadian itu.

"Ketika itulah Davey kata, Fernando ada di bawah sana. Saya ingat lagi ketika itu saya bantah dan saya kata, tidak Fernando keluar pergi ke bandar, seperti yang selalu dilakukannya. Dia kata tidak, Fernando ada di bawah sana,"

Jurugambar Greenpeace kelahiran Portugal, Fernando Pereira telah menyertai krew Rainbow Warrior untuk merakam ujian nuklear dijalankan oleh Kerajaan Perancis seterusnya mendedahkan gambar-gambar itu kepada dunia.

Dia telah terperangkap di dalam bilik yang dipenuhi air dan mati lemas ketika kejadian itu. Fernando baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 35.

Rupa-rupanya, Rainbow Warrior tidak diserang oleh lanun, namun sebenarnya ia telah diserang oleh agen rahsia kerajaan Perancis bagi menyekat ia daripada berlayar untuk melakukan bantahan terhadap ujian nuklear kerajaan.


Ejen-ejen rahsia itu menyelam dan melekatkan dua paket bahan letupan yang dibungkus dengan plastik. Salah satu bahan letupan dilekatkan pada kipas kapal, manakala satu lagi di luar bilik enjin.

Pada peringkat awal kerajaan Perancis menafikan bahawa mereka tahu tentang operasi itu. Namun akhirnya Perdana Menteri Perancis ketika itu Laurent Fabius muncul di kaca televisyen membuat satu pengumuman yang menggemparkan orang awam.

"Ejen-ejen DGSE (ejen rahsia) telah menenggelamkan kapal ini. Mereka bertindak di atas arahan," umumnya.

Selepas kejadian itu hanya dua orang ejen yang diheret ke mahkamah. Dominique Prieur dan Alain Mafart yang menyamar sebagai pelancong dari Switzerland, mengaku bersalah terhadap tuduhan membunuh dan melakukan kerosakan, sebelum masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 10 dan 7 tahun.

Selepas satu rundingan dijalankan oleh PBB, mereka telah dipindahkan ke Pulau Hao, yang menempatkan Pengkalan tentera Perancis di Polynesia.

Namun mereka berdua telah dibebaskan tidak sampai dua tahun kemudian.

Christine Cabon, seorang ejen rahsia yang telah menyelinap masuk ke dalam pejabat Greenpeace di New Zealand selepas kejadian pengeboman itu, berjaya melarikan diri ketika pihak berkuasa cuba menahannya di Israel.


Wanita itu terus menghilangkan diri sejak peristiwa berkenaan. Keberadaan seorang lagi ejen rahsia yang menggunakan nama samaran Jean - Michael Berthelot, salah seorang penyelam yang dipercayai telah memasang bom juga tidak diketahui.

Kebanyakan ejen rahsia yang dipercayai terlibat dengan operasi menengelamkan Rainbow Warrior di pelabuhan Auckland semuanya telah menghilangkan diri.

Catat Komen

0 Ulasan