Belanjawan 2026: MCMC Perkukuh Keterangkuman Digital dan Kesalinghubungan Negara

CYBERJAYA, 11 Okt – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik penekanan Kementerian Komunikasi dalam Belanjawan 2026 yang memberi fokus kepada usaha memperkukuh kesalinghubungan komunikasi, memperluas pembangunan infrastruktur digital negara serta memperkasa masyarakat melalui teknologi dan inovasi. Penekanan ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia menikmati manfaat pembangunan digital secara menyeluruh tanpa mengira lokasi, latar belakang atau tahap sosioekonomi. 

Menurut MCMC, pelbagai inisiatif strategik yang diumumkan melalui Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen kerajaan terhadap agenda pendigitalan negara. Antara projek berskala besar ialah pembinaan Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dengan peruntukan RM2 bilion. Projek kabel sepanjang 3,190 kilometer dari Johor ke Sabah dan Sarawak ini bakal memperkukuh kesalinghubungan antara Semenanjung dan Borneo, selain meningkatkan keupayaan rangkaian dan kestabilan capaian Internet negara. Infrastruktur ini dijangka mengurangkan kebergantungan kepada laluan sedia ada serta meningkatkan daya tahan jaringan komunikasi negara terhadap gangguan.
Belanjawan 2026 juga memperkukuh agenda Jalinan Digital Negara (JENDELA) melalui fasa kedua yang menerima peruntukan RM780 juta bagi meluaskan liputan jalur lebar ke 2,700 lokasi baharu. Peluasan ini memberi tumpuan khusus kepada kawasan luar bandar, pedalaman dan kawasan yang masih mempunyai liputan terhad. Langkah ini dijangka merapatkan jurang digital antara komuniti bandar dan luar bandar, seterusnya memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati akses Internet berkualiti serta peluang ekonomi digital yang lebih luas. 

Dalam sektor kesihatan pula, sebanyak RM650 juta diperuntukkan bagi meningkatkan ketersambungan Internet di hospital awam dan klinik kesihatan di seluruh negara. Peningkatan ini akan menyokong transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan seperti rekod perubatan elektronik, telekesihatan dan sistem pengurusan hospital, yang secara langsung meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

MCMC turut memandang serius usaha memperkukuh ekosistem komuniti melalui pemerkasaan 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dengan peruntukan RM350 juta. Melalui penambahbaikan kemudahan, latihan dan program keusahawanan, pusat-pusat ini akan berfungsi sebagai hab pembangunan komuniti, inovasi digital dan peningkatan literasi teknologi, seterusnya membantu usahawan desa meningkatkan pendapatan dan daya saing. 

Di samping itu, RM210 juta diperuntukkan bagi pembangunan Sistem Amaran Awal (EWS) untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana alam. Melalui sistem yang lebih canggih dan responsif, rakyat dapat menerima maklumat awal dengan lebih pantas dan tepat, sekaligus mengurangkan risiko korban serta kerosakan harta benda ketika bencana berlaku. 

Dalam usaha memperkukuh kedaulatan data dan keselamatan siber negara, MCMC akan menerajui pembangunan Sovereign AI Cloud dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion. Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang lebih selamat, bertanggungjawab dan beretika. Selari dengan itu, penubuhan AI Transformation Centre bersama Universiti Multimedia (MMU) serta Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies akan memperkukuh kapasiti negara dalam penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat dalam teknologi baharu. 

Seiring dengan peralihan negara kepada rangkaian telekomunikasi yang lebih maju, MCMC turut menyokong pelaksanaan model dwirangkaian 5G yang disasarkan mencapai liputan 80 peratus menjelang 2026. Model ini dijangka mewujudkan persekitaran rangkaian yang lebih kompetitif, seterusnya menyediakan perkhidmatan Internet yang lebih pantas, stabil dan mampu milik kepada rakyat dan perniagaan. Langkah ini juga akan memacu pembangunan industri berasaskan data, automasi dan teknologi pintar di pelbagai sektor ekonomi. 

Selain itu, MCMC akan memperluas pelaksanaan Kempen Internet Selamat di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber, literasi digital dan penggunaan Internet secara beretika terutama dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan warga emas. Melalui kempen ini, masyarakat diharapkan lebih berdaya tahan terhadap ancaman digital seperti penipuan dalam talian, serangan siber dan penyebaran maklumat palsu. 

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2026 menunjukkan komitmen kukuh MCMC dalam memperkukuh kesalinghubungan negara, meningkatkan kecekapan perkhidmatan komunikasi serta memastikan rakyat menikmati manfaat pembangunan digital secara menyeluruh. Inisiatif yang dirangka bukan sahaja menyokong agenda transformasi digital negara, malah turut memastikan pertumbuhan ekonomi digital lebih inklusif, seimbang dan mampan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post