Kisah penjual surat khabar yang lebih kaya dari Bill Gates

SIAPA tak kenal dengan Bill Gates, pemilik Microsoft dan juga merupakan orang paling kaya dalam dunia.



Bill Gates juga terkenal dengan sikapnya yang dermawan suka membantu kanak-kanak di seluruh dunia yang menghidap polio, malaria, kemiskinan dan yang tidak mendapat pendidikan sempurna.

Bill Gates

Namun ada sebuah cerita tentang kekayaannya yang heboh jadi bualan satu masa dahulu.

Bill Gates pernah ditanya adakah ada orang lain yang lebih kaya daripada anda di dunia ini?

"Ya ada seorang yang lebih kaya dari saya," kata Bill Gates sebelum memulakan cerita.

Menurutnya pada waktu itu dia masih belum menjadi kaya dan terkenal. Ketika berada di lapangan terbang New York, dia telah pergi ke sebuah kedai menjual surat khabar.

"Saya mahu membeli sekeping surat khabar tapi saya dapati tidak cukup wang kecil. Jadi saya batalkan niat untuk membeli dan pulangkan ia semula kepada penjual," 


Selepas memberitahu bahawa dia tidak mempunyai cukup duit untuk membeli surat khabar itu katanya, remaja penjual berkulit hitam itu terus memberikan akhbar tersebut kepadanya secara percuma.

"Oleh kerana dia mendesak maka saya pun ambil surat khabar itu," kata Bill Gates.

Secara kebetulan selepas dua atau tiga bulan kemudian, Bill Gates sekali lagi mendarat di lapangan terbang yang sama, dan kali ini sekali lagi dia tidak cukup duit untuk membeli sekeping surat khabar.

"Penjual itu menawarkan surat khabar lagi kepada saya secara percuma. Saya menolak dengan mengatakan saya tak boleh ambil kerana hari ini saya tak cukup duit juga," jawab Bill Gates.

Penjual itu membalas: "Tak mengapa awak boleh ambil, saya kongsi sedikit keuntungan saya, saya tak akan rugi,"

Tanpa berfikir panjang Bill Gates pun menerima tawaran itu dan mengambil surat khabar yang diberikan oleh penjual berkenaan tanpa membayar sesen pun.

"Selepas 19 tahun saya menjadi kaya dan dikenali oleh orang ramai. Tiba-tiba saya teringat dengan penjual itu. Saya mula mencarinya dan selepas lebih kurang sebulan setengah mencari, saya berjaya menemuinya," 

"Saya bertanya kepadanya awak kenal saya?"


"Ya awak adalah Bill Gates," jawab penjual itu.

Dia bertanya jika penjual itu masih ingat sebelum ini pernah memberikan surat khabar secara percuma kepadanya.

"Ya saya masih ingat, saya berikan suratkhabar secara percuma dua kali," jawab penjual itu.

Bill Gates menawarkan kepada penjual itu untuk membalas budinya.

"Saya nak balas balik bantuan yang pernah awak berikan kepada saya waktu itu. Apa saja yang awak mahu dalam hidup beritahulah, saya akan penuhi," ujar Bill Gates.

"Maafkan saya tuan, tidakkah tuan terfikir dengan melakukan begitu tidak akan menandingi bantuan saya sebelum ini?" soal penjual itu.

"Saya tanya dia, kenapa?" kata Bill Gates yang cuba memahami maksud kata-kata penjual surat khabar itu.

Penjual itu menjawab: "Saya telah membantu awak ketika saya seorang penjual surat khabar yang miskin, dan awak boleh cuba membantu saya sekarang, selepas awak menjadi orang paling kaya di dunia, bagaimana bantuan awak boleh setanding dengan bantuan saya?"


"Sejak dari hari itu barulah saya sedar bahawa penjual surat khabar itu lebih kaya dari saya, kerana dia tidak perlu menunggu menjadi kaya untuk membantu orang," kata Bill Gates. — EdisiRakyat.com, 1 Januari 2021

Post a Comment

Previous Post Next Post