Che Guevara - Seorang revolusioner dalam bola sepak

CHE GUEVARA ataupun nama sebenarnya Ernesto Rafael Guevara de la Serna merupakan seorang peminat sukan terutamanya sukan ragbi dan bola sepak. Che Guevara sangat aktif dalam permainan ragbi ketika masih menuntut di sekolah dan universiti. Graduan perubatan ini turut meminati kelab di tempat kelahiran beliau iaitu Club Atlético Rosario



Idea revolusi dan reformasi warga Argentina ini timbul setelah beliau bersama beberapa rakan mahasiswa fakulti perubatan dari Universiti Buenos Aires, pergi mengembara dengan menggunakan motosikal mereka ke seluruh pelusuk benua Amerika Selatan. Dari Andes hinggalah ke Amazon, dari Peru sampai ke Chile, ke segenap tinggalan tamadun-tamadun pribumi lagenda Amerika Selatan, dan ke setiap ceruk kampung di pedalaman Amerika Selatan, Che Guevara mengembara mencari erti penghidupan. Beliau dahagakan pengalaman. Kisah pengembaraan beliau itulah yang membuka mata sanubarinya bahawa betapa ramai lagi di luar sana hidup sengsara, miskin, dan tiada apa-apa. 

Kekurangan akibat sistem yang cenderung berat sebelah dan dikemudi oleh mereka yang bersifat opurtunis.

Sistem kapitalis ini lawannya adalah sistem komunis. Maka tidak dapat tidak, ideologi tersebut tampak sepadan dengan jiwa sanubari Che Guevara. Perlu ada perubahan, revolusi dan reformasi. Seperti mana pemimpin-pemimpin terkenal di dunia, Che Guevara mempunyai daya pengucapan umum atau "public speaking" yang sangat bagus. Isinya memang sangat mantap dan disulami ungkapan-ungkapan yang tidak kurang hebatnya. Pendengar pastinya akan bangun berdiri menepuk tangan sebagai tanda kagun dan terpegun.

"Football is not just a simple game. It is also a weapon of the revolution."

Ini salah satu kata-kata Che Guevara memperihalkan tentang sukan bola sepak yang dicintainya.

Di Peru, ada satu cerita ketika Che Guevara masih dalam pengembaraannya. Beliau kesuntukan wang. Bekalan makanan juga sudah makin berkurangan. Oleh yang demikian, Che Guevara terpaksa membuat kerja sampingan seperti buruh, tukang kayu, tukang cuci bagi mendapatkan wang.

Dan, ada satu pekerjaan yang cukup memberi inspirasi kepada Che Guevara seperti mana yang tercatat dalam catatan perjalanan beliau. Che Guevara pernah bekerja sebagai jurulatih bola sepak, melatih anak-anak kecil di kampung-kampung. Beliau diupah oleh para ibu bapa, pihak gereja atau pun perwakilan kampung untuk melatih anak-anak kampung dalam sukan bola sepak. 

Dari situ, Che Guevara menggambarkan betapa sukan bola sepak berupaya menghilangkan rasa sengsara rakyat walaupun sekejap. Walaupun hidup serba serbi susah dan ditekan rejim zalim yang pemerintah, sukan bola sepak dilihat dapat menzahirkan suka, ceria dan tawa di kalangan masyarakat samada pemain mahupun mereka yang menonton perlawanan bola sepak itu sendiri. Keseronokan dan perasaan teruja terhadap bola sepak buatkan mereka terlupa seketika kepada sengsara hidup yang dihadapi.

Seperti mana tayangan filem-filem Hindustan di kalangan rakyat India, begitu juga lah perihalnya akan sukan bola sepak terhadap rakyat di benua Amerika Selatan. Kalau dilihat orang bahawa dunia dari dalam tempurung, sebilangan orang lihat dunia dari mata burung, Che Guevara lihat dunia dari mata fikir.

Che Guevara menjadi ikon bagi kebanyakan rakyat di benua Amerika Tengah, Caribbean dan Amerika Selatan. Dan ianya terus popular hingga kini, malah turut menjadi ikon fesyen buat remaja masa kini dengan menggayakan baju-T, seluar, topi dan sebagainya yang terpapar imej Che Guevara.

Pada 8 Oktober 1967, beliau ditangkap di pergunungan di Bolivia, di sebuah tempat bernama Vallegrande, setelah diburu pihak berkuasa Bolivia sejak sekian lama. Che Guevara telah dihukum tembak mati sehari selepas itu ketika masih berada dalam tahanan. Tangannya dipotong dan dibuat sebagai bukti kematiannya dan mayatnya dikebumikan di suatu lokasi yang dirahsiakan.

Hanya pada tahun 1997 baharu lah kuburnya ditemui dan mayatnya dibawa pulang ke Cuba untuk upacara pengebumian negara yang dihadiri jutaan masyarakat Cuba.

Post a Comment

Previous Post Next Post