SEBENARNYA banyak pandangan dalam perkara ini. Majoriti berpendapat Khadijah RA yang melamar Rasulullah SAW untuk dijadikan suaminya. Ada juga sumber yang mengatakan ianya sebenarnya dimulakan oleh bapa saudara kedua-dua belah pihak. Rasanya kedua-dua teori tidak mendatangkan salah. Cuma ianya bergantung kepada cara seseorang itu mentafsirkan kisah ini.
Kerana keperibadian hebat yang ada pada Nabi Muhammad SAW, Khadijah begitu tertarik dan jatuh cinta. Khadijah memberitahu Maisarah iaitu sahabat baiknya tentang akhlak yang dimiliki oleh baginda yang mulia dan terpuji. Antaranya akhlak yang baik, pemikiran yang bernas dan kata-kata yang benar, serta bersifat amanah. Ini adalah calon suami impian Khadijah. Para pemimpin kabilahnya amat setuju beliau berkahwin dengan Rasulullah SAW.
Hasrat Khadijah untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai suaminya disampaikan kepada rakan baiknya, Nafisah binti Munyah. Rakannya itu berjumpa dengan Baginda dan memberi dorongan supaya Baginda berkahwin dengan Khadijah. Nabi Muhammad SAW menerima dengan baik dan memberitahu bapa-bapa saudaranya.
Mereka berjumpa dengan bapa saudara Khadijah dan meminangnya. Hasil daripada itu, perkahwinan berjaya dilangsungkan. Bani Hasyim dan Mudhar menghadiri majlis itu. Majlis itu diadakan selepas dua bulan baginda pulang dari Syam.
Kisah ini menjadi bualan hebat netizen dari dulu sampai sekarang berkenaan adakah Khadijah RA meminang Rasulullah SAW atau pun sebaliknya?
Jika kita mengambil pendapat bahawa hasrat yang disampaikan oleh Nafisah itu adalah hasrat untuk meminang Rasulullah SAW, ianya tidak melanggari hukum hakam. Tetapi jika kita setuju bahawa peminangan itu dilakukan oleh bapa saudara kedua-dua belah pihak, maka andaian Khadijah meminang Rasulullah SAW adalah tidak benar.
Apa pun, wanita menyatakan hasrat untuk bernikah kepada lelaki yang disukainya tidaklah salah dari segi hukum syarat. Tidak ada nas dan dalil yang tetap mengharamkannya. Jadi terpulang kepada cara kita menilai kisah tersebut.
Yang baik kita permudahkanlah.
Sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud, yang bermaksud:
"Wahai generasi muda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkeluarga hendaknya ia kahwin kerana ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu hendaknya berpuasa sebab ia dapat mengendalikanmu."
Sebagai mahar pernikahan, Baginda Nabi SAW memberikan Khadijah RA 20 ekor unta muda. Khadijah adalah sebaik-baik wanita dari segi keturunan, harta dan akal. Dia adalah wanita pertama yang dinikahi oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak berkahwin dengan wanita lain sehingga Khadijah meninggal dunia. Ini bukti dimana, Nabi Muhammad s.a.w tidak mengamalkan poligami ketika Khadijah masih hidup.
Wallahualam.
Post a Comment