PMX di tempat ke-10 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disenaraikan di kedudukan ke-10 dalam The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2026, terbitan Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC) di bawah Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt, Amman, Jordan.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan, sebelum ini berada di tempat ke-15 pada 2025 dan ke-17 pada 2024.

Laporan itu menelusuri perjalanan panjang beliau sejak era mahasiswa di Universiti Malaya hingga pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10 pada November 2022, selain menyentuh pelbagai cabaran yang ditempuh termasuk pemenjaraan, pengguguran jawatan dan perjuangan berpuluh tahun dalam politik pembangkang sebelum kembali menerajui negara.

Penerbitan berkenaan turut menampilkan peranan beliau sebagai perantara regional, termasuk usaha meredakan ketegangan Thailand–Kemboja selepas insiden pertempuran di sempadan, yang membantu mengukuhkan imej Malaysia sebagai pendamai serantau.

“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai perantara keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara,” menurut laporan itu.

Dalam isu Gaza, laporan tersebut menonjolkan pendirian lantang Anwar memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kecamannya terhadap kezaliman rejim Zionis. Beliau turut mengkritik tindakan syarikat Meta yang memadam hantaran takziah terhadap pemimpin Hamas yang terbunuh, menyifatkannya sebagai “pengecut” dan menegaskan agar syarikat itu tidak tunduk kepada tekanan Israel.

Penyenaraian ini dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan Anwar dalam memperjuangkan keadilan sosial, mempromosikan tadbir urus Islam progresif, serta komitmen beliau terhadap keamanan serantau dan solidariti umat Islam di peringkat global.

Edisi 2026 menyaksikan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, menduduki tempat pertama, manakala Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berada di kedudukan ke-15.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post