Malaysia–AS Kukuh Kerjasama Ekonomi Berteraskan Keterbukaan, Saling Menghormati

GYEONGJU, 31 Okt – Malaysia menegaskan bahawa hubungan strategik dengan Amerika Syarikat (AS) terus dibina atas asas keterbukaan, keadilan dan saling menghormati, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri menyatakan perkara itu ketika bertemu Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, di luar Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di sini, hari ini.

Menurut Anwar, pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, termasuk kerjasama antara Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia bagi memastikan dasar pertukaran mata wang yang kukuh, kestabilan pasaran kewangan, serta tadbir urus yang telus dan berintegriti.

Beliau berkata perbincangan turut menyentuh kerjasama mempertingkat daya tahan sistem kewangan serantau, sejajar dengan aspirasi APEC ke arah pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

Dalam pertemuan itu, Bessent turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas layanan mesra yang diberikan kepada Presiden AS, Donald Trump, dan delegasinya semasa lawatan rasmi ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Saya sekali lagi menyampaikan penghargaan kepada Presiden Trump atas kunjungan beliau, yang mencerminkan iltizam kepimpinan AS untuk memperkukuh hubungan dua hala secara konstruktif dan saling menghormati,” kata Anwar.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen AS dalam memperluas jaringan perdagangan, pelaburan dan keamanan global yang berasaskan prinsip dialog, keadilan dan persefahaman bersama.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post