MCMC Siasat Hantaran Facebook Papar Imej Palsu Kaitkan Perdana Menteri

CYBERJAYA, 6 Nov - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat satu hantaran di Facebook yang memaparkan imej suntingan menyerupai laporan portal berita Utusan Malaysia bertajuk “Anwar akui banyak kesilapan perjanjian dengan US”.

Imej tersebut, yang menggunakan logo Utusan Malaysia, disahkan palsu dan berpotensi mengelirukan orang ramai. Siasatan awal turut mendapati bahawa Utusan Malaysia menafikan menerbitkan laporan berkenaan serta menjelaskan bahawa nama dan logo akhbar itu telah disalahgunakan.


Susulan itu, individu yang disyaki terlibat telah dipanggil untuk membantu siasatan dan keterangannya dirakam hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Melaka. Pihak berkuasa turut menyita sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM untuk analisis forensik digital.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

MCMC menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum berkongsi maklumat di media sosial, khususnya kandungan yang menggunakan identiti atau logo organisasi media tanpa kebenaran. Penyebaran kandungan palsu, menurut MCMC, boleh menjejaskan kredibiliti sumber berita sahih dan membawa kepada tindakan undang-undang.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post