Had BUDI95 Pemandu E-Hailing Dinaikkan Sehingga 800 Liter Sebulan - PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kerajaan bersetuju menaikkan had kelayakan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-panggilan yang layak kepada sehingga 800 liter sebulan, tertakluk kepada syarat perjalanan yang ditetapkan.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat setelah kerajaan meneliti rayuan dan keperluan operasi pemandu e-panggilan yang menunjukkan penggunaan bahan api lebih tinggi berbanding had sedia ada.


Menurut beliau, sebagai langkah awal pada Oktober lalu, kerajaan telah menaikkan had bulanan pemandu e-panggilan aktif daripada 300 kepada 600 liter, memberi manfaat kepada 58,000 pemandu di seluruh negara.

 

“Kerajaan juga bersetuju memasukkan teksi lapangan terbang sebagai kategori kenderaan yang layak menerima RON95 bersubsidi melalui Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera), Anwar turut menjelaskan perkembangan bulan pertama pelaksanaan penyasaran subsidi RON95. Pada Oktober, seramai 13.1 juta rakyat menggunakan RON95 bersubsidi dengan perbelanjaan RM2.6 bilion, termasuk kira-kira RM800 juta subsidi kerajaan.

 

Purata penggunaan penerima BUDI95 bagi bulan sama ialah 98 liter, bersamaan 33 peratus daripada had bulanan 300 liter. Hanya 0.7 peratus penerima menggunakan sepenuhnya kelayakan mereka sebelum akhir Oktober.

 

Selain itu, sehingga 31 Oktober, hampir 24,000 pengendali bot berdaftar tanpa lesen memandu telah diluluskan untuk menerima manfaat BUDI95.

 

Mengulas pertanyaan mengenai mengapa BUDI95 diberikan kepada semua warganegara termasuk kelompok T15, Perdana Menteri berkata ia berkait rapat dengan faktor pelaksanaan dan kos penguatkuasaan.

 

“Jika kita tetapkan takrif T15 pada paras RM13,000 atau RM20,000 sebulan, ia masih menekan kelompok menengah atas. Jika kita naikkan kepada RM50,000 sebulan, jumlahnya sangat kecil dan kos penguatkuasaan menjadi tinggi. Jadi kita mulakan dengan pendekatan ini dahulu, dan penambahbaikan boleh dibuat apabila sistem lebih mantap,” katanya.

 

Sementara itu, menjawab pertanyaan Datuk Awang Hashim (PN–Pendang) mengenai kesan tarif Amerika Syarikat terhadap kos pengangkutan dan logistik pasaran tempatan, Anwar berkata kerajaan terus memantau dan menilai implikasinya.

 

“Walaupun tarif diturunkan dan banyak barangan seperti semikonduktor serta kelapa sawit mendapat pengecualian, kita tetap meneliti kesannya. Jika kos meningkat, kerajaan akan mengkaji semula dasar bagi mengelakkan beban kepada rakyat,” katanya.

 

Malaysia sebelum ini memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dengan Amerika Syarikat yang menurunkan kadar tarif purata daripada 25 kepada 19 peratus, sekali gus memberi akses pasaran lebih luas kepada eksport utama negara.— Edisi Rakyat.com


Post a Comment

Previous Post Next Post