PM Umum RM500 Juta Baiki Infrastruktur Awam Terjejas Banjir

KUALA LUMPUR, 2 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi membaiki kerosakan infrastruktur awam di kebanyakan negeri yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Beliau berkata semua jabatan di bawah kerajaan Persekutuan dan negeri telah diarahkan untuk segera melaksanakan penilaian kerosakan serta menjalankan kerja-kerja pembaikan melibatkan kemudahan awam yang terkesan.

“Ini termasuk sekolah, klinik, kemudahan asas dan jalan raya. Bagi mempercepatkan proses pembaikan, saya meluluskan peruntukan RM500 juta untuk tujuan membaiki kerosakan akibat banjir,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.


Rang Undang-Undang Perbekalan itu telah diluluskan di Dewan Rakyat semalam selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 10 Okt lalu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan melaksanakan tindakan sewajarnya bersama pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri dalam menghadapi bencana banjir.

“Banjir tahun ini menyaksikan lebih 150 pusat pemindahan sementara tambahan diaktifkan, yang telah membantu lebih 12,000 mangsa,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa situasi banjir setakat 8 pagi hari ini menunjukkan penurunan jumlah mangsa di tujuh negeri iaitu Selangor, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah, Pahang dan Perlis.

Terdahulu, Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan melalui peruntukan keseluruhan RM470 bilion di bawah Belanjawan MADANI 2026, dengan tumpuan kepada usaha memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh tadbir urus serta memastikan bantuan sampai secara langsung kepada rakyat.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan pembangunan melalui pelaksanaan projek bekalan air, pembaikan sekolah daif, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta peningkatan kemudahan digital di bawah inisiatif Kabel Dasar Laut MADANI.

Dalam aspek keselamatan dan kesiapsiagaan bencana, beliau berkata NADMA menerima peruntukan RM460 juta, manakala RM2.2 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir di seluruh negara.

Anwar turut memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar berjumlah RM66.2 bilion, diikuti Kementerian Kesihatan sebanyak RM46.5 bilion yang turut merangkumi pelantikan tetap 4,500 doktor kontrak pada tahun hadapan.

Belanjawan 2026 merupakan belanjawan keempat di bawah Kerajaan MADANI dan yang pertama dilaksanakan dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13.

Bertemakan “Belanjawan Rakyat”, belanjawan itu memperuntukkan RM470 bilion perbelanjaan awam, merangkumi RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, selain disokong oleh pelaburan syarikat berkaitan kerajaan, kerjasama awam-swasta serta sumbangan badan berkanun Persekutuan.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post