KUALA LUMPUR, 2 Dis – Kerajaan kekal komited melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), sekali gus menolak cadangan Bank Dunia supaya harga bahan api ditetapkan sepenuhnya mengikut harga pasaran, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata cadangan Bank Dunia
untuk menetapkan harga petrol RON95 pada RM2.65 seliter bagi semua kategori
pengguna sebelum menyalurkan subsidi khusus kepada kumpulan tertentu tidak
selari dengan pendekatan kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat.
“Cadangan tersebut adalah untuk
menaikkan harga RON95 kepada RM2.65 seliter untuk semua, kemudian memberikan
subsidi kepada kategori tertentu. Namun, saya bersama jemaah menteri menolak
pendekatan itu dan memilih untuk menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter
bagi rakyat Malaysia serta RM2.60 seliter bagi warga asing.
“Ini menunjukkan pendekatan kerajaan
yang lebih berhemat dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya
ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara, hari
ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan
berkata pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 di seluruh negara menerima
sambutan yang baik dan maklum balas positif daripada rakyat.
Menurut beliau, penyasaran subsidi
secara menyeluruh memastikan bantuan kerajaan benar-benar dinikmati oleh rakyat
yang layak, di samping membanteras ketirisan subsidi kepada bukan warganegara
serta kegunaan komersial.
“Ketika kerajaan menghentikan subsidi
ayam dan telur serta mengapungkan harganya, kita memastikan harga kekal stabil,
bekalan mencukupi dan rakyat tidak terkesan.
“Melalui pengapungan harga ayam dan
telur, selain penyasaran subsidi elektrik, diesel dan RON95, kerajaan berjaya
menjimatkan sekitar RM15.5 bilion setahun,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan
memilih untuk tidak memperkenalkan cukai baharu dalam Belanjawan 2026,
sebaliknya menumpukan kepada penambahbaikan tatakelola, penyasaran subsidi dan
pengukuhan pematuhan cukai.
“Kebiasaannya, apabila perbelanjaan
tambahan diumumkan, kerajaan akan memperkenalkan cukai baharu. Namun, di
Malaysia kita menambah peruntukan tanpa mengenakan cukai baharu kerana langkah
penjimatan melalui penyasaran subsidi dan usaha mengelakkan ketirisan.
“Jika Kerajaan Persekutuan mengambil
pendekatan sedemikian, saya menyeru kerajaan negeri agar turut berhati-hati dan
memastikan sebarang tindakan termasuk pengenalan cukai baharu tidak membebankan
rakyat,” katanya.

Post a Comment