KUALA LUMPUR, 2 Dis - Intel Corporation mengumumkan pelaburan tambahan bernilai RM860 juta bagi memperkukuh Malaysia sebagai pusat operasi pemasangan dan ujian syarikat itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pelaburan berkenaan
mencerminkan keyakinan berterusan Intel terhadap perancangan jangka panjang
negara, termasuk pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang memberi
tumpuan kepada pembangunan industri berteknologi tinggi dan bernilai tambah.
Menurut Anwar, Intel turut merakamkan
penghargaan terhadap sokongan berterusan kerajaan Malaysia, khususnya berkaitan
pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju di Pulau Pinang yang melibatkan
perbelanjaan modal berjumlah RM12 bilion dan kini telah mencapai tahap 99
peratus siap.
Beliau memaklumkan perkara itu
menerusi satu hantaran di laman media sosial beliau pada Isnin.
Terdahulu, Perdana Menteri menerima
kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation, Lip-Bu Tan, yang
merupakan anak Malaysia dan telah mengharumkan nama negara dalam industri
semikonduktor dan perisian di peringkat global.
“Dalam pertemuan tersebut, kami
membincangkan perkembangan semasa sektor semikonduktor serta usaha berterusan
untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti
tinggi,” katanya.
Anwar turut menyambut baik kerjasama
Intel dengan institusi pendidikan dan latihan tempatan menerusi pelaksanaan
mata pelajaran elektif serta projek penyelidikan dan pembangunan, yang
melibatkan komitmen pembiayaan berjumlah RM2.8 juta bagi tempoh dua tahun.
“Keseluruhan pelaburan ini
mencerminkan keyakinan sebuah syarikat global terhadap Malaysia sebagai rakan
kongsi strategik dalam memacu inovasi, memperkukuh ekosistem bakat tempatan dan
mengekalkan daya saing negara di pentas antarabangsa,” katanya.

Post a Comment