Khasiat madu untuk anak anda

MADU memang terkenal dengan seribu satu khasiat yang tidak dapat disangkal bukan sahaja untuk orang dewasa malahan juga untuk anak-anak.

Terkadang para ibu merasa gusar apabila anak mereka tidak berselera makan dan runsing anak mereka kekurangan zat untuk ketahanan badan.

Madu merupakan alternatif kepada permasalahan ini. Rasanya yang manis dan lazat tidak menyukarkan anda untuk memberikannya kepada anak anda. Antara khasiat-khasiat madu untuk anak anda adalah:

IBU SEGALA PENAWAR, madu mampu mengubati 1001 jenis penyakit
1. Menguatkan imuniti tubuh

Madu sangat kaya dengan karbohidrat yang berperanan besar untuk membekalkan tenaga kepada tubuh badan.

Anak kecil terkenal dengan sifat lasak dan sukakan aktiviti yang memerlukan banyak tenaga. Dengan pengambilan madu dalam kuantiti satu sudu kecil pada waktu pagi mampu memberi tenaga berpanjangan sepanjang hari kepada anak anda.

Terdapat banyak cara lain untuk mempelbagaikan corak pengambilan madu dalam pemakanan anda.

Selain memberi secara terus sesudu madu, anda juga boleh menyapukan madu pada roti lalu diberikan kepada anak anda. Tentu anak anda lebih kenyang dengan cara ini.

2. Merawat sakit tekak, batuk dan selsema

Kanak-kanak gemar bermain dalam tempoh yang lama di sesuatu kawasan yang berisiko mendedahkan mereka kepada kuman dan bakteria contohnya di padang permainan.

Mereka juga gemar mencuba sesuatu yang baru sehingga gemar bermain di dalam hujan dan mandi di sungai. Keadaan ini menyebabkan anak-anak mudah terkena sakit tekak, batuk dan selsema.

Jika selalunya anda gemar membawa anak anda ke doktor untuk mendapatkan rawatan, apa kata kali ini anda cuba cara alami ini dengan menggunakan madu.

Madu yang kaya dengan anti-microbiol berfungsi bukan sahaja untuk melegakan sakit tekak, batuk dan selsema, malahan mampu membunuh bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan kuman kepada anak anda.

Caranya sangat mudah, iaitu ambil segelas air suam dan masukkan sesudu kecil madu lalu diberikan kepada anak anda dua kali sehari atau berikan segelas air campuran madu bersama perahan lemon untuk kesan yang lebih baik.

3. Meningkat sistem ketahanan badan.

Anak-anak gemar bermain di kawasan yang mendedahkan mereka kepada kuman dan bakteria

Kanak-kanak mempunyai sistem badan yang sangat rapuh dan mudah diserang penyakit.

Kanak-kanak yang aktif perlu memperbanyakkan pengambilan air putih bagi menggantikan cecair yang sesuai dirembeskan melalui peluh dan juga cecair yang digunakan untuk penghasilan tenaga di dalam badan.

Tubuh badan yang kekurangan air merangsang pengumpulan bakteria di dalam badan kerana kurang medium untuk perkumuhan yang boleh membantu penyingkiran bakteria dari dalam badan.

Dengan pengambilan madu dalam diet harian dapat membantu menguatkan sistem imuniti dalam tubuh badan.

Ini kerana madu mengandungi anti-oksida dan antibakteria yang mampu meningkatkan sistem penghadaman anak anda sekaligus menjadikan anak anda lebih kuat melawan penyakit berbahaya.

4. Meningkatkan kadar metabolisma tubuh

Seiring dengan tumbesaran anak, tubuh badannya memerlukan pelbagai nutrisi serta khasiat untuk membantu perkembangan mental dan fizikal yang sihat.

Untuk menjamin kesihatan yang berpanjangan, anak anda perlu mengambil makanan yang memangkin kelancaran metabolisma tubuh badan bagi memastikan tiada lebihan kolestrol atau asid lemak yang boleh menjadi penyebab kepada penyakit berbahaya.

Pengambilan madu mampu membantu tubuh badannya membakar lebihan kolestrol serta asid lemak dalam tubuh si kecil sekaligus menjadikan tubuh badannya lebih sihat dan bertenaga. — EdisiRakyat.com, 17 Februari 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post