Cara mendidik anak bersedekah dari kecil

MENDIDIK anak bersedekah perlu dilakukan sejak usia muda sesuai dengan kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.

Anak-anak ibarat kain putih, kita yang mencorakkannya. Sebagai ibu bapa kita berperanan besar menanamkan sifat-sifat yang baik dalam diri anak-anak agar dapat membentuk akhlak yang baik pada anak-anak.

Salah satu sifat yang baik yang perlu dipupuk pada anak- anak adalah sifat suka berbagi dan bersedekah. Tips di bawah ini sedikit sebanyak dapat membantu anda dalam usaha menjadikan anak anda seorang yang pemurah.



Sumber foto - kgmokkan

1. Ibu bapa sebagai contoh

Anak kecil gemar menjadikan ibu bapa mereka contoh untuk diikuti. Ini kerana ibu bapa adalah orang yang paling rapat dan tempat rujukan bagi anak-anak untuk belajar sesuatu yang baru.

Untuk mendidik anak bersedekah, anda sebagai ibu bapa perlu menunjukkan sikap pemurah dan suka bersedekah agar menjadi ikutan kepada anak-anak.

Perbuatan ibu bapa ini akan menjadi ikutan bagi anak-anak kecil yang masih naif. Ada anak kecil yang suka bertanya tentang tindakan ibu bapa dan itulah masa yang tepat untuk anda memberi kefahaman kepada anak anda tentang hikmah sedekah.

Namun awas. Jangan pula timbul perasaan riak dan bermegah-megah sehingga anak silap faham dengan fungsi sedekah iaitu untuk menunjuk-nunjuk dan menanamkan sifat mazmumah pada anak-anak.

2. Lorongkan anak-anak ke jalan sedekah

Untuk mendidik anak menjadi pemurah memerlukan kreativiti. Anak anak tidak akan tahu cara untuk bersedekah tanpa rangsangan dari ibu bapa.

Anda boleh membantu anak anda bersedekah dengan cara mengajak anak anda mengumpul barang- barang yang masih elok tetapi tidak digunakan seperti pakaian-pakaian lama, buku dan beg untuk di bawa ke rumah-rumah kebajikan.



Selain itu, jika ternampak orang meminta sedekah, hulurkan wang kepada anak anda untuk diberikan kepada peminta sedekah dengan tangannya sendiri agar dia merasa teruja melakukan perkara tersebut dan ingin mengulanginya semula.

3. Menerangkan hikmah bersedekah

Anak-anak kecil kerap mempunyai perasaan ingin tahu yang membuak-buak terhadap sesuatu perkara.

Anak masih tidak faham peranan wang dan harta benda, susah dan senang kerana mereka masih tidak matang tentang soal kehidupan.

Sebagai ibu-bapa, tanggungjawab kita adalah untuk mengajar anak erti kehidupan, mengapa ada orang yang meminta sedekah dan pentingnya membantu orang lain.

Berikan anak satu penerangan yang logik dan mudah difahami tentang fungsi sedekah. Contohnya," orang yang meminta sedekah itu kerana dia lapar dan tidak mempunyai cukup wang untuk membeli makanan. Kalau dia tidak makan, dia akan jatuh sakit."

Wujudkan sifat belas kasihan dan simpati anak pada orang lain agar anak terdidik dengan nilai murni bukan sahaja kepada manusia tetapi semua makhluk di muka bumi ini.

4. Berikan pujian

Anak-anak kecil gemarkan pujian kerana mereka berasa dihargai dan diberikan perhatian.

Untuk merangsang pembentukan sahsiah diri anak yang baik, wajar bagi ibu bapa memberikan penghargaan bagi setiap pencapaian yang anak berjaya lakukan.

Setiap kali anak menunjukkan minatnya menghulurkan bantuan kepada orang lain dan memberi sedekah, balaslah perbuatan anak dengan memberi anak pujian dan ganjaran seperti membawa anak keluar bermain.

Ini bukan saja dapat memupuk sifat yang baik pada anak anda, malah mengeratkan hubungan anda dan anak-anak anda.

5. Ajar anak bersedekah dengan keupayaan sendiri

Anda boleh mengajar anak anda memvariasikan cara bersedekah bukan sahaja dengan wang ringgit atau harta benda, malahan boleh dilakukan dengan keupayaan diri.

Cara ini akan membuatkan anak anda merasa sedekahnya lebih bermakna dan menimbulkan keseronokan kepada anak anda.

Contohnya, cadangkan kepada anak anda supaya dia memasak bubur untuk diberi kepada sahabat yang sakit. Anda boleh menambah keterujaan anak anda dengan memasak bersamanya.

Selain itu, ajar anak untuk membuat tabung khas dari wang saku mereka yang boleh digunakan untuk membantu sahabat yang dalam kesusahan dan untuk bersedekah. Ini pasti membuatkan anak anda berasa gembira untuk menderma dengan tangannya sendiri seikhlas hati.— EdisiRakyat.com, 18 Februari 2017




Post a Comment

Previous Post Next Post