Senarai 5 Melayu paling kaya Malaysia di tahun 2017

MELANGKAH ke tahun baru 2017, senarai 40 orang paling kaya di Malaysia telah pun diterbitkan. Robert Kuok kekal mengungguli tangga pertama senarai tersebut.

BACA — Robert Kuok individu paling kaya Malaysia di tahun 2017

Daripada senarai 40 orang paling kaya di Malaysia itu, hanya terdapat 5 individu-individu paling kaya terdiri daripada yang berbangsa Melayu yang tersenarai.

Berikut nama-nama mereka.



foto kredit: The Star

1. TAN SRI SYED MOKHTAR ALBUKHARY
MMC Corp Bhd
Nilai kekayaan bersih: RM5 billion
Tangga ke 10 senarai individu paling kaya di Malaysia

Nilai harta kekayaan milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary baru diselaraskan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tahun lalu, MMC Corp Bhd syarikat utama miliknya telah mengambil alih NCB Holdings Bhd pada harga RM4.40 setiap pegangan menjadikan nilainya sebanyak RM2.07 billion. NCB adalah milik penuh Northport (M) Bhd sebuah laluan utama untuk import dan eksport kontena di Perlabuhan Klang

Dalam tahun 2015, MMC Corp telah menyenaraikan Malakoff Corp Bhd — sebuah penjana tenaga bebas terbesar negara. Ia telah menutup fasiliti pembuatan yang mengalami kerugian serta melupuskan bahagian minyak dan gas.

Syed Mokhtar dikatakan sedang mengembangkan 51.8% kawalannya di dalam MMC Corp yang berkaitan dengan logistik dan perlabuhan, tenaga dan utiliti, serta pembinaan dan kejuruteraan.

Kumpulan ini menguasai hampir semua pelabuhan-pelabuhan di pantai barat Semenanjung Malaysia iaitu, Penang Port, Northport, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor dan yang terbaru menguasai Pelabuhan Tanjung Bruas di Melaka hasil pengambil alihan daripada Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang.

MMC juga mempunyai 30.9% pegangan di dalam Gas Malaysia Bhd. Dalam bidang pembinaan, ia melakukan usaha sama projek Mass Rapid Transit, MRT dengan Gamuda Bhd, dan Projek Plan Janakuasa di Pengerang, Johor bersama Siemens. Nilai keseluruhan pembinaan dianggarkan sebanyak RM30 billion.

Syarikat lain yang dimiliki oleh hartawan ini ialah DRB-Hicom Bhd yang kini turut mengawal Pos Malaysia Bhd. Aset-aset lain di bawah DRB Hicom ialah Proton Holdings Bhd dan Bank Muamalat (M) Bhd.



foto kredit - majeca.org

2. Tan Sri Azman Hashim
Amcorp Group
Nilai kekayaan bersih: RM2.4 billion
Tangga ke 22 senarai individu paling kaya di Malaysia

Tan Sri Azman yang kini berusia 78 tahun telah merancang persaraannya dengan melepaskan sejumlah jawatan ahli lembaga pengarah dalam Amcorp Group.

Pelan persaraan sudah dimulakan, di mana 2 orang anaknya sudah menggantikan jawatan beliau di dalam dua syarikat yang dimiliki iaitu Amcorp Properties Bhd dan RCE Capital Bhd.

Nama beliau begitu sinonim dengan Arab Malaysian Group, Azman adalah seorang akauntan yang menukar kerjayanya kepada pegawai bank.

Dalam tahun 1982 beliau secara kebetulan berada di dalam situasi yang begitu menguntungkan selepas membeli 40% pegangan dalam Taiping Textiles, yang mana kemudiannya menjadi Arab-Malaysian Development Bhd.

Dalam tahun yang sama Azman telah membeli Arab Malaysian Development Bank yang kemudiannya telah diubah menjadi Arab Malaysian Merchant Bank Berhad ataupun AMMB.

Azman menguasai kesemua pegangan di dalam Amcorp group, daripada perkhidmatan kewangan, hartanah dan kejuruteraan, teknologi maklumat, barangan pengguna, serta perkhidmatan.

Amcorp group mempunyai pegangan sebanyak 69.3 % di dalam Amcorp Properties dan Amcorp Properties-PA yang mengawal MCM Technologies (menjalankan perniagaan teknologi maklumat), Harpers Travel, Restoran Seri Melayu dan 90% dalam Amcorp Auto.

Dalam sektor perkhidmatan kewangan, azman merupakan pemilik saham kedua terbesar dengan pegangan sebanyak 12.7% di dalam AMMB yang mempunyai kawalan terhadap AmBank, AmInvestment Bank, AmIslamic Bank, AmSecurities dan AMMB Nominees.



3. Raja Haji Munir Shah Bin Raja Mustapha
Excel Force MSC Bhd dan My E.G Service Bhd
Kekayaan bersih: RM2.2 billion
Tangga ke 24 senarai individu paling kaya di Malaysia

Raja Haji Munir Shah Bin Raja Mustapha merupakan pendatang baru dalam senarai individu individu paling kaya di Malaysia. Beliau bersama dengan Wong Thean Soon, tersenarai sebagai antara individu terkaya dengan gabungan kekayaan bernilai RM2.18 billion.

Mereka berdua dianggap sebagai pemegang-pemegang saham di dalam MyEG dan Excel Force, melalui dua syarikat menerusi Asia Internet Holdings, Asia Internet E-Services Holdings dan Radio Port Ltd.

Munir Shah, 54 telah menjadi pengarah eksekutif MyEG sejak 2004, sementara Wong sebagai pengarah urusan merangkap pengarah eksekutif MyEG bermula sejak 6 Mac 2000.

Tahun lalu, MyEG telah membeli pegangan saham sebanyak 18.7% daripada Excel Force dengan nilai RM38 juta.

MyEG dilaporkan memiliki modal pasaran sebanyak RM5.4 billion atau RM1.51 per unit saham tahun lalu. Sementara Excel Force memiliki modal pasaran sebanyak RM246 juta dengan harga saham RM1.19 seunit.

Keuntungan tahunan terkumpul MyEG adalah sebanyak 45% sejak 5 tahun lalu.

Syarikat ini telah mengalami peningkatan harga saham tahun lalu. MyEG merupakan penyedia perkhidmatan e-Government yang mana baru-baru ini menerima kontrak untuk menguruskan pendaftaran pekerja-pekerja asing haram yang dilanjutkan sehingga hujung tahun ini (2017).

Excel Force mula ditubuhkan dalam tahun 1994 terlibat dalam perniagaan pembangunan pembekalan dan penyelenggaraan software komputer. Ia turut meliputi urusniaga di Thailand dan Vietnam.



Foto kredit - Bloomberg

4. Tan Sri Shahril Shamsuddin
Presiden dan CEO Group
SapuraKencana Petroleum Bhd
Nilai bersih kekayaan RM1.765 billion
Tangga ke 29 senarai individu paling kaya di Malaysia

Kesan daripada kelemahan sektor minyak dan gas, presiden dan juga pengarah eksekutif (CEO) kumpulan SapuraKencana Petroleum Bhd, Tan Sri Shahril Shamsuddin, 54 jatuh ke tangga ke-29 daripada senarai individu terkaya malaysia ditahun 2017 di mana nilai kekayaan bersihnya menyusut sebanyak 18 peratus kepada RM1.765 billion.

Modal pasaran SapuraKencana telah menyusun hampir separuh kepada RM10.49 billion berbanding RM29.17 billion ketika zaman kemuncak sektor minyak dan gas pada tahun 2012.



foto kredit - staitstime.com

5. Tan Sri Mokhzani Mahathir
Pelbagai Syarikat
Nilai kekayaan bersih RM1.07 billion
Tangga ke 36 senarai individu paling kaya di Malaysia

Anak kepada bekas perdana menteri paling lama berkuasa, Tun Mahathir ini sedang mengalami tahun-tahun paling sukar apabila nilai harta kekayaannya menyusut sebanyak 35% kepada RM1.07 billion.

Semua ini sebahagian besarnya berpunca daripada penurunan pegangan saham miliknya di SapuraKencana Petroleum.

Dalam bulan Oktober tahun lalu, ahli perniagaan berusia 55 tahun ini dan rakan perniagaannya Datuk Yeow Kheng Chew secara rasmi mengumumkan berpisah menerusi perniagaan di Kencana Capital Sdn Bhd.

Melalui perjanjian dalam bulan Oktober, Mokhzani kini dianggap mempunyai kawalan penuh ke atas Kencana Capital sementara Yeow menguasai pegangan syarikat di dalam Yinson Holding Sdn Bhd. Yeow kemudiannya telah menjual hampir kesemua pegangan sahamnya di dalam Yinson sejurus selepas perpisahan tersebut.

Dalam masa yang sama, Mokhzani juga telah meletak jawatan sebagai pengerusi Litar Antarabangsa Sepang dalam bulan Oktober, jawatan yang telah dipegangnya selama 13 tahun.

Mokhzani sehingga kini masih kekal sebagai pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Opcom Holding Bhd, sebuah syarikat yang terlibat di dalam urus niaga kabel fiber optik, di mana salah seorang adik beradiknya, Datuk Mukhriz Mahathir memiliki pegangan saham sebanyak 30 peratus.

Mokhzani juga merupakan seorang pengarah di Maxis Bhd.

Beliau dikatakan mula menunjukkan kecenderungan terhadap teknologi. Dalam laporan terbaru, difahamkan beliau kini sedang mula melabur dalam perniagaan berkaitan teknologi.

Namun kali ini beliau dikatakan terpaksa melakukannya tanpa rakan perniagaan rapatnyanya yang sudah bersama lebih 20 tahun.

Usaha sama antara Mokhzani dan Yeow telah bermula sejak di Tongkah Holding Bhd dalam tahun 1987. Hampir tiga dekad mereka berdua membuat pelaburan demi pelaburan di pelbagai sektor minyak dan gas, hartanah, pendidikan, dan teknologi maklumat.

Kerjasama utama antara Mokhzani dan Yeow di dalam sektor minyak dan gas adalah menerusi Kencana Petroleum Bhd dalam tahun 2001. Syarikat tersebut telah tersenarai sekitar tahun 2006 dan telah bergabung dengan SapuraCrest Petroleum Bhd pada tahun 2011.

Mereka meninggalkan ahli lembaga pengarah Sapura Kencana dalam tahun 2015, namun syarikat di bawah kawalan Mokhzani, Khasera Baru Sdn Bhd masih memegang baki 10% saham di dalam syarikat tersebut yang kini mempunyai nilai pasaran sebanyak RM10 billion.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kencana Capital merupakan pelabur penting di dalam IHH Healthcare Bjd dan Astro Malaysia Holdings Bhd. Ia juga memiliki pelaburan pelaburan jangka panjang di dalam hartanah yang mana termasuk pelaburan dengan Capital Land, UOA dan dalam Menara SapuraKencana.

Selain itu, Kencana Capital masih mempunyai pegangan saham sebanyak 3.5% di dalam Yinson. — EdisiRakyat.com, 4 Februari 2017
Previous Post Next Post