Ads Top

Robert Kuok kekal sebagai orang paling kaya Malaysia 2017

ROBERT Kuok pemilik PBB Group Bhd dan Kerry Group kekal berada di senarai teratas orang paling kaya di Malaysia bagi permulaan tahun 2017, dengan kekayaan terkumpul sebanyak RM37 billion.



Robert Kuok
PBB Group Bhd/ Kerry Group
Nilai kekayaan: RM37 billion

Seringkali orang tersilap menggelarkan Robert Kuok dengan panggilan 'tan sri' ataupun 'tun'. Namun hartawan berusia 94 tahun yang dilahirkan di Johor dan kini menetap di Hong Kong itu sebenarnya tidak memiliki kedua-dua gelaran tersebut.

Sumber yang rapat dengan Kuok mendakwa, beliau menolak secara baik pemberian sebarang gelaran ataupun pangkat kerana hanya mahu dikenali sebagai seorang ahli perniagaan bertaraf antarabangsa dan bukannya seseorang yang terikat kepada mana-mana negara ataupun pemimpin politik.

Syarikat milik Kuok di Malaysia ialah PBB Group yang terlibat dalam perusahaan perladangan, serta pemprosesan dan edaran tepung dan roti. Ia juga mempunyai rangkaian pawagam-pawagam di bawah Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC).

Luar daripada Malaysia, syarikat milik Kuok dinaungi oleh Kerry Group yang berpangkalan di Hong Kong. Kerry Group turut menaungi Shangri-La Asia Ltd yang memiliki dan mengusahakan rangkaian hotel-hotel mewah. Ia juga merupakan pemegang saham terbesar di dalam Kerry Properties dan Kerry Logistics.

Menerusi jaringan pegangan saham yang rumit, Kuok turut mengawal Wilmar International Ltd, syarikat perladangan yang disenaraikan sebagai paling bernilai di dunia. Ia berpangkalan di Singapura dan diuruskan oleh anak saudaranya Kuok Khoon Hong.

Dengan modal pasaran hampir SD23 billion pada penghujung tahun lalu, Wilmar lebih dari sekadar pemain dalam sektor perladangan. Ia turut berperanan di dalam dagangan dan produksi pelbagai jenis komoditi makanan seperti gula dan kelapa sawit.

Pegangan Kuok di dalam Wilmar adalah melalui PBB Group dan Kerry Group di Hong Kong yang mana secara keseluruhan sebanyak 23% daripada keseluruhan syarikat tersebut.

Satu masa dahulu Kuok pernah dikatakan mengawal 10 peratus daripada penghasilan gula dunia, sekaligus menyebabkan beliau digelar sebagai 'raja gula'.

Di Malaysia, Kuok telah menyerahkan perniagaan gulanya kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, FELDA pada tahun 2009 sebelum berhijrah untuk menjadi pembekal gula mentah di Australia. — EdisiRakyat.com, 4 Februari 2017
Powered by Blogger.