Peguam Penduduk Kg Haka dakwa pemaju langgar perintah mahkamah

EPISOD isu Kampung Hakka, Mantin di sini masih belum  berakhir apabila sedikit kekecohan berlaku di kampung tersebut sejak pagi tadi hingga 02.30 petang tadi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Hakka, Chong Tza Yaw, 46; segalanya bermula sekitar jam 09.30 pagi tadi apabila penduduk kampung dikejutkan dengan kehadiran beberapa pekerja dari syarikat pemaju iaitu Mega 9 Housing Sdn Bhd yang mula mendirikan pagar berzink di sekitar salah sebuah rumah penduduk kampung tersebut.

"Seterusnya lebih kurang 50 penduduk kampung tersebut menghalang pekerja pemaju dari mendirikan pagar berzink tersebut. Pekerja-perkerja itu balik dari lokasi kejadian.

"Walaubagaimanapun sekitar jam 12.30 tengahari pekerja-pekerja itu datang semula untuk menyambung kerja menaikkan pagar berzink. Kordinator JERIT, R Gandhi cuba menghalang pekerja daripada meneruskan kerja-kerja mendirikan pagar berzink itu.

"Sejurus kemudian Gandhi ditahan oleh pihak polis dan di bawa ke Balai Polis Mantin untuk siasatan.

"Apa saya kesalkan ialah kita (penduduk kampung) sudah mendapat perintah penggantungan pelaksanaan (stay order) daripada Mahkamah Rayuan Putrajaya sehingga rayuan kes ini habis dibicarakan. 

"Sebaliknya pemaju pula mendirikan pagar dan menghalang tuan rumah ini dari masuk ke kediaman beliau," jelas Chong.
"
Peguam penduduk dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lobak (ADUN), Siow Kim Leong (DAP) yang bergegas ke tempat kejadian, bertikam lidah dengan salah seorang wakil pemaju.

"Wakil pemaju memberi interperasi bahawa perintah penggantungan pelaksanaan dari Mahkamah Rayuan bermaksud pemaju tidak boleh merobohkan kediaman penduduk. Tetapi mendirikan pagar tidak melanggar perintah mahkamah tersebut.

"Walaubagaimanapun ianya tidak benar, apabila Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan perintah penggantungan pelaksanaan, ianya bermaksud kembali kepada keadaan asal kampung tersebut. Bermakna pemaju tidak boleh buat apa-apa ditapak kampung tersebut termasuk mendirikan pagar.

"Saya anggap tindakan pemaju pada hari ini satu penghinaan kepada mahkamah (contempt of court)," kata Siow.

Siow seterusnya mengesahkan kepada FMT bahawa setelah beliau berunding dengan pemaju, pihak pemaju tetap mahu meneruskan kerja-kerja mendirikan pagar berzink itu.

"Alasan pemaju ialah Majlis Perbandaran Nilai mengarahkan pemaju membuat pagar di tapak projek dan sekiranya tidak berbuat demikian, pemaju akan dikenakan tindakan.

"Saya akan membuat permohonan prosiding 'penghinaan mahkamah' ke atas pemaju di Mahkamah Rayuan secepat mungkin," ujar Siow.

Sementara itu Sidek Muhammad, 62, yang tinggal di rumah tersebut berang dengan pemaju dan sambil menunjukkan kakinya yang berbalut bertanya kepada pemaju bagaimana beliau ingin masuk ke rumah jika kawasan rumah beliau dipagar.

"Saya tidur di sini. Kaki saya sakit. Bagaimana saya mahu masuk rumah kalau awak pagar kawasan rumah ini?
Turut hadir ialah ADUN Nilai, J Arulkumar (DAP); Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) Seremban, S Tinagaran dan wakil NGO Jingga 13 — FMT

Post a Comment

Previous Post Next Post