Kisah Nabi Yunus AS, Niwana dan Ikan Nun

NABI YUNUS AS atau Yunus bin Matta adalah seorang nabi yang diutuskan oleh Allah SWT untuk berdakwah dan menyebarkan agama Allah di sebuah kawasan bernama Niwana. Nabi Yunus AS adalah seorang pendatang yang ke Niwana semata-mata di atas perintah Allah SWT untuk berdakwah kepada penghuni di kawasan berkenaan.

Sampainya Nabi Yunus AS di sana, Nabi Yunus AS mendapati penduduk-penduduk di Niwana merupakan manusia yang menyekutukan Allah SWT dengan menyembah berhala. Setelah mengetahui hal tersebut Nabi Yunus AS mula menyebarkan kepada mereka tentang ilmu tauhid dan keimanan kepada Tuhan yang satu iaitu Allah SWT. Nabi Yunus AS juga memberi nasihat kepada penduduk di sana tentang kesilapan dan kebodohan mereka kerana menyembah berhala sedangkan berhala itu adalah hasil tangan manusia sendiri. Seterusnya, Nabi Yunus AS menasihatkan mereka bahawa berhala tersebut tidak dapat memberi apa-apa bantuan dan kebaikan kepada mereka kerana berhala-berhala itu tidak boleh bergerak dan berkata- kata. Nabi Yunus mengingatkan mereka supaya menyembah Allah SWT yang telah menciptakan manusia dan Allah sajalah yang wajib ditaati dan disembah.

Oleh kerana ajaran yang dibawa oleh Nabi Yunus AS itu adalah satu ajaran baru kepada mereka, maka tidak ramai dari mereka yang mahu menerimanya ajaran tersebut. Mereka lebih suka untuk menyembah berhala-berhala yang telah disembah oleh nenek moyang mereka sejak turun temurun dahulu. Walaupun Nabi Yunus AS telah memberi nasihat kepada penduduk-penduduk di sana, tetapi mereka tetap dengan pendirian mereka dan berkeras serta berkata "Ini adalah Tuhan kami (yakni berhala-berhala), datuk nenek kami telah lama menyembah tuhan-tuhan kami dan kami tetap tidak akan berganjak dari meninggalkan agama kami". 

Nabi Yunus AS berkata "Aku hanya menyampai apa yang Allah menyuruh aku sampaikan kepada kamu semua, oleh itu kamu beriman dan bertauhidlah menurut agama yang aku bawa sebagai amanat Allah SWT".

Berkata Nabi Yunus AS lagi "Aku ini hanyalah pesuruh yang mana Allah SWT telah perintahkan kepadaku supaya menyelamatkan kamu semua daripada lembah kesesatan dan lembah kegelapan serta menyiarkan kepada kamu tentang agama yang suci bersih lagi murni dan membersihkan hati-hati kamu dari kufur dan syirik, demi untuk kebaikan kamu di dunia dan di akhirat."

Walaupun Nabi Yunus AS telah memberi nasihat serta contoh pengajaran supaya mereka kembali beriman ke pangkal jalan, tetapi mereka tetap dengan pendirian mereka dan berkata "walau apa sekalipun kamu katakan kepada kami, kami tetap tidak akan berganjak dari agama kami dan kami juga tidak takut walau apa pun ancaman yang kamu katakan dan kalau mahu cubalah datangkan ancaman itu kepada kami, kalau kamu memang orang yang benar."

Setelah melihat keadaan mereka yang tidak mengindahkan langsung peringatan dari Nabi Yunus AS, Nabi Yunus AS pun meninggalkan kawasan Niwana tersebut dengan rasa amat marah. Nabi Yunus AS berdoa kepada Allah SWT supaya mereka yang keras kepala menerima hukuman yang sewajarnya dari Allah SWT. Sejak Nabi Yunus AS meninggalkan Niwana penduduk-penduduk di sana gelisah melihatkan perubahan yang berlaku di tempat tinggal masing-masing.

Penduduk-penduduk melihat Niwana mengalami kegelapan, binatang peliharaan mereka juga seperti tidak tenteram dan ditambah pula dengan angin yang sangat kuat serta guruh yang mengegarkan tempat berkenaan. Dengan berlakunya perkara-perkara ini maka sedarlah mereka bahawa ajaran yang dibawa oleh Nabi Yunus AS itu adalah ajaran yang benar dan bukan satu ajaran yang direka. Akhirnya mereka menyesal dan keluar beramai-ramai dari kota tersebut dan pergi ke bukit lalu meminta ampun dan rahmat Allah SWT agar dihindari daripada sebarang malapetaka dan bencana. 

Allah SWT Maha Mengetahui akan hambaNya yang menyesal dan mohon ampun dariNya, maka Allah SWT pun menerima permintaan mereka, lalu Niwana yang gelap telah bertukar menjadi cerah, binatang ternakan tidak lagi dalam ketakutan dan telah kembali tenang. Akhirnya mereka semua kembali dengan bersyukur kepada Allah SWT yang telah menyelamatkan mereka dari bahaya malapetaka serta musibah. Nabi Yunus AS telah meninggalkan Niwana membawa diri tanpa arah tujuan.

Nabi Yunus mengembara, dari bukit bukau ke gunung-ganang dan akhirnya Nabi Yunus AS sampai di sebuah pantai. Kebetulan pula pada masa itu Nabi Yunus AS melihat ada sebuah kapal hendak belayar, maka Nqbi Yunus AS pun pergi ke arah kapal tersebut dan bertemu dengan pemilik kapal itu untuk turut serta dalam pelayarannya. Setelah diberi keizinan oleh pemilik kapal berkenaan maka Nabi Yunus AS menumpang kapal tersebut. Dalam pelayaran tersebut, kapal yang ditumpangi Nabi Yunus telah dilanda ribut taufan yang kuat. oleh kerana kapal tersebut sedang dilanda ribut taufan, maka kapten kapal membuat keputusan supaya barangan yang dibawa oleh kapal tersebut dikurangkan. ini juga termasuk lah penumpang-penumpang yang berada dalam kapal berkenaan. Jumlah mereka juga perlu dikurangkan. Satu pengundian telah dibuat dan dalam undian tersebut Nabi Yunus AS telah dipilih sebagai orang yang harus dibuang ke dalam laut. Oleh kerana sebab Nabi Yunus AS adalah antara penumpang kapal berkenaan yang dihormati dan dipandang tinggi, maka pengundian sekali lagi telah diadakan.

Dan buat kali keduanya nama Nabi Yunus AS terpilih sekali lagi. Setelah itu mereka mengadakan pengundian lagi sekali dan seperti dua pengundian sebelum itu nama Nabi Yunus AS tetap terpilih. Kini Nabi Yunus AS tahu bahawa ianya memang adalah hendak Allah. Pada ketika itu Nabi Yunus terfikir adakah ini balasan atas kesalahannya kerana meninggalkan Niwana tanpa meminta persetujuan dari Allah SWT. Di fikiran Nabi Yunus AS, baginda berpendapat keputusan pengundian pengundian tersebut adalah untuk menebus dosa-dosa yang Nabi Yunus AS lakukan sebelum itu. Nabi Yunus AS beristikharah, tanpa ragu-ragu Nabi Yunus AS terjun ke dalam laut yang sedang bergelombang ganas.


Ketika Nabi Yunus AS sedang bertarung dengan gelombang ombak yang besar, maka Allah SWT telah mengarahkan seekor ikan nun (yu) supaya menelan Nabi Yunus AS hidup- hidup. Maka ikan nun yang muncul itu pun menelan Nabi Yunus AS dan menyimpannya dalam perut tanpa ada sebarang kecederaan dan cacat-celanya. Ketika Nabi Yunus AS berada dalam perut ikan nun itu dia berdoa kepada Allah SWT supaya mengampuni dosa yang telah dilakukan.

Lalu Nabi Yunus membaca doa: "Tidak ada Tuhan yang benar di sembah hanya Engkau ya Allah, mahasuci Engkau aku adalah orang yang membuat zalim atas diriku."


Maka Allah SWT memperkenankan permintaannya dan Allah SWT lepaskan dia daripada kedukaan. Demikianlah Allah SWT selamatkan orang yang beriman.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Nama tuhan yang mulia, siapa yang berdoa dengan nama itu akan diperkenankan doanya. Siapa yang meminta dengan nama itu, akan diberi apa yang diucapkan oleh Nabi Yunus dalam perut ikan nun."

Firman Allah bermaksud "Jika tidak kerana dia (Nabi Yunus) daripada orang yang selalu mengucapkan tasbih, nescaya tidaklah ia dapat keluar dari perut ikan sampai hari kiamat."

Setelah beberapa ketika Nabi Yunus AS berada di dalam perut ikan nun tersebut, maka Allah SWT pun melemparkan Nabi Yunus ke darat. Di tempat Nabi Yunus dilemparkan itu Allah SWT menghidupkan pokok labu yang dapat Nabi Yunus AS bernaung di bawahnya dan dapat pula baginda makan buat tersebut dan kembali segar. Ketika Nabi Yunus AS dilemparkan ke darat keadaannya amat letih.

Setelah Nabi Yunus AS berasa segar kembali maka Allah telah memerintahkannya supaya kembali ke Niwana. Nabi Yunus AS terkejut kerana penduduk-penduduk Niwana sedang menanti kepulangannya. Penduduk-penduduk tersebut meminta Nabi Yunus AS mengajar mereka untuk menyempurnakan akidah dan iman mereka. Nabi Yunus AS berasa sangat hairan kerana penduduk Niwana dahulunya terdiri daripada orang yang ingkar dengan perintah Allah SWT tetapi kini hidup dan mati mereka semata-mata kerana Allah SWT.

Wallahu'alam..

Post a Comment

Previous Post Next Post