Empat turbin ditutup serentak antara punca gangguan elektrik di Sabah

PENUTUPAN empat turbin janakuasa gas secara serentak oleh syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) di Sepanggar dikenal pasti sebagai punca gangguan elektrik di seluruh Sabah dan Labuan, Jumaat lepas.

Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Ir Abdul Razak Sallim berkata tindakan IPP berkenaan menyebabkan kapasiti penjanaan menurun kepada 525 megawatt (MW) berbanding permintaan sebanyak 585MW.

Beliau menjelaskan penuruan kapasiti secara mendadak menyebabkan sistem grid gagal berfungsi.

Abdul Razak berkata ia adalah hasil siasatan awal oleh jawatankuasa khas yang dibentuk oleh SESB dan dianggotai oleh Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Sabah, untuk menyiasat insiden berkenaan.

"Sebelum kejadian, kapasiti penjanaan ialah 877MW dan permintaan ialah 731MW. Jadi ada margin 146MW. Maknanya sebelum kejadian, grid di Sabah berada dalam keadaan baik," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada anggota Kabinet negeri di sini hari ini.

Menurutnya langkah IPP berkenaan mematikan empat turbin janakuasa gas dalam tempoh 23 saat menyebabkan SESB tidak dapat melakukan pelepasan bebanan seterusnya bagi mengimbangi kapasiti permintaan dan penjanaan pada ketika itu.

"Apabila empat janakuasa di Stesen Janakuasa Salut ditutup secara manual, ia membawa kepada penurunan frekuensi di bawah frekuensi selamat. Pada 11.11 pagi, semua sistem (seluruh Sabah) lumpuh," katanya.

Menurut Abdul Razak pihaknya dimaklumkan oleh pengurusan IPP berkenaan bahawa mereka mengambil tindakan tersebut kerana masalah teknikal termasuk 'gas damper' tidak berfungsi dengan baik dan kerosakan lebih teruk boleh berlaku sekiranya tidak dimatikan.

Sementara itu, Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Sabah Nazlin Abd Alim Sidiki, berkata pihaknya masih menyiasat kejadian itu dan sedang mencari bukti sebelum membuat kesimpulan mengenai punca sebenar gangguan berkenaan.

Katanya di bawah Akta Bekalan Elektrik dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 lesen yang dikeluarkan suruhanjaya kepada semua IPP termasuk SESB boleh ditarik balik sekiranya terbukti penerima lesen gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan. — Bernama 

Post a Comment

Previous Post Next Post