LARANGAN memasuki Jepun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan dakwaan laporan "sesuatu yang berlaku tahun lalu" oleh kerajaan Malaysia amat dikesali, kata menteri besar Selangor.
"Kerajaan negeri berpendapat perbuatan ini menghina kedudukan beliau selaku ketua pembangkang Malaysia yang telah dipilih oleh rakyat secara sah menjadi ahli parlimen menerusi pilihan raya umum ke-13 yang lalu," kata Tan Sri Khalid Ibrahim.
Dalam kenyataannya hari ini, Khalid juga menggesa Jepun memberi penjelasan memuaskan berhubung larangan terhadap Anwar yang juga ketua umum PKR dan penasihat ekonomi negeri.
Khalid berkata, langkah itu dikesali memandangkan Selangor mempunyai hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Jepun.
Malah, katanya, pelabur Jepun adalah pelabur asing terbesar di negeri Pakatan Rakyat itu.
"Mencerminkan hubungan baik dan kerjasama erat ini, kerajaan negeri amat berharap kerajaan Jepun dapat memberi penjelasan yang memuaskan berkaitan insiden ini supaya sebarang kekeliruan dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya. — Malaysiakini
Post a Comment