Sejarah terciptanya patung Teddy Bear lebih 100 tahun lalu

HARI ini kita lihat di mana-mana sahaja terdapat sejenis patung boneka yang sering diberikan sebagai hadiah istimewa dan selalu dijadikan teman tidur yang boleh dipeluk iaitu 'Teddy Bear'.

$ads={1}

Bukan saja kaum wanita, kaum lelaki pun ramai yang suka tidur memeluk 'Teddy bear' — patung berupa seekor beruang comel, dengan bulu lembut itu selesa untuk dipeluk dan kadangkala boleh juga dijadikan bantal.

Teddy Bear

Namun pernah tak anda terfikir dari mana sebenarnya asal-usul boneka ini dan yang lebih penting, kenapa ia dipanggil Teddy Bear?

Kalau dilihat daripada namanya, kita boleh faham bahawa perkataan 'bear' tentu sekali merujuk kepada rupa patung itu yang mirip dengan beruang dan perkataan itu tentulah diambil dari perkataan 'bear' yang bermaksud beruang dalam Bahasa Inggeris.

Namun kenapa pula ia digandingkan dengan perkataan Teddy? Teddy ini merujuk kepada apa?

Sebenarnya ada sejarah menarik di sebalik penciptaan patung Teddy Bear lebih seratus tahun yang lampau sebelum ia dijual secara besar-besaran sampai ke seluruh pelusuk dunia.

Sejarah itu bermula dalam tahun 1902 di Mississipi, Amerika Syarikat. Pada ketika itu bekas Presiden Amerika ke-26 Theodore Roosevelt telah dijemput oleh gabenor Andrew H. Longino untuk keluar memburu haiwan di hutan.

Theodore Roosevelt
Theodore Roosevelt, Presiden Amerika ke-26

Roosevelt yang memang terkenal dengan hobi suka memburu binatang, telah menerima pelawaan itu dengan senang hati.

Aktiviti itu berjalan dengan baik dan menyenangkan bagi Roosevelt, kecuali satu masalah iaitu, di kala semua orang dalam kumpulan itu berjaya mendapat 'habuan' untuk dibawa pulang, namun tidak ada seekor haiwan pun yang berjaya ditembak oleh Roosevelt.

Perkara itu membuatkan dia merasa hampa dan bengang. Bagi Gabenor Andrew pula, tentu sekali dia tidak akan membiarkan bekas Presiden Amerika itu pulang dengan tangan kosong.

Ketika itu datang Holt Collier, seorang bekas tentera berkuda yang faham benar dengan selok-belok hutan berkenaan dan dia juga seorang yang mahir memburu haiwan.

Collier telah terserempak dengan seekor beruang yang besar dan berjaya menundukkannya. Beruang itu terbaring di atas tanah, dikepung oleh anjing-anjing buruan yang tak henti-henti menyalak dan kemudiannya diikat pada sebatang pokok besar.

$ads={2}

Tidak lama kemudian Roosevelt tiba dan ditunjukkan kepada beruang yang terikat pada pokok berkenaan.

"Tembak beruang itu," jerit mereka.

Namun Roosevelt bukanlah jenis orang yang begitu, dia seorang pemburu, dan tidak suka menembak haiwan tidak berdaya seperti itu.

Sebaliknya dia mengarahkan supaya beruang itu dilepaskan sebelum pergi meninggalkannya dengan senang hati.

Kisah sifat belas ihsan yang ditunjukkan oleh bekas Presiden Amerika itu begitu cepat tersebar di seluruh bandar.

Kartunis terkenal pada waktu itu, Clifford Berryman menyemarakkan lagi kisah popular bekas presiden itu menerusi hasil karyanya.

Teddy with bear
Kartun yang disiarkan dalam Akhbar Washington Post 16 November 1902

Pada 16 November tahun berkenaan, kartun lukisan Clifford Berryman muncul dalam akhbar Washington Post, dan seorang pembuat gula-gula bernama Morris Michtom pula telah menghasilkan sebuah permainan kanak-kanak bagi memperingati kisah itu.

Morris menamakan permainan ciptaannya itu sebagai "Teddy's Bear" selepas mendapat kebenaran dari Theodore Roosevelt sendiri. Lagipun Roosevelt memang terkenal dengan perangainya yang lucu dan suka berlawak.

Hampir saya terlupa, Theodore Roosevelt juga sering dirujuk dengan nama Teddy Roosevelt, dan di kalangan orang sekeliling biasa memanggilnya dengan panggilan Teddy, dari situlah permainan itu mendapat namanya.

Permainan itu mendapat sambutan hangat dan telah terjual di seluruh negara. Tidak lama kemudian Morris Michtom mengasaskan sebuah syarikat bernama Ideal Novelty and Toy sebelum mengubah nama permainan ciptaannya kepada "Teddy Bear" dan menghasilkannya secara besar-besaran.

Selepas itu permainan berkenaan lebih dikenali dengan panggilan 'Teddy Bear'.

Meskipun pada peringkat awal ia dibuat menyerupai beruang sebenar, lama-kelamaan buatannya berubah sedikit demi sedikit menjadi lebih comel, dengan mata besar dan hidung butang yang comel serta badannya pula dibuat daripada fabrik yang lebih selesa untuk dipeluk.

Hari ini Teddy Bear dihasilkan secara meluas dalam pelbagai bentuk dan saiz. Kita boleh membelinya dari pelbagai premis, dan boleh juga membeli Teddy Bear yang dibuat khas mengikut kemahuan kita. — EdisiRakyat.com, 21 Januari 2021

Post a Comment

Previous Post Next Post